Images
  • Datuk Patinggi Abang Tun Openg
    Gambar: Kuching laporan dan isu tempatan/Facebook

S’pura, Sarawak bekerjasama dalam bidang pertanian, pelancongan

KUCHING: Sarawak dan Singapura bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang pertanian dan pelancongan, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Datuk Patinggi Abang Johari berkata bahawa beliau dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong membincangkan kerjasama itu dalam pertemuan mereka di Singapura baru-baru ini.

Justeru, katanya Sarawak akan membuka pejabat di Singapura bagi membantu usahawan negeri yang berhasrat mengadakan usaha sama dengan rakan perniagaan mereka di negara jiran itu.

Menurut beliau selanjutnya, PM Lee akur akan potensi Sarawak dan insiatif ekonomi digitalnya.

Ketua Menteri itu berkata bahawa beliau sudahpun mengarahkan setiausaha kerajaan negeri untuk membuka pejabat di Singapura selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Demikian didedahkannya dalam ucapannya di majlis makan malam sempena Perhimpunan Agung Ke-14 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam (13 Mac).

Beliau berkata bahawa pejabat itu nanti akan menjadi sangat strategik bagi Sarawak dalam ASEAN.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Johari berkata bahawa beliau akan membuat dua pengumuman masing-masing pada September dan Oktober tahun ini.

Beliau tidak menyatakan secara terperinci tetapi memberi gambaran bahawa ia berhubung undang-undang daya ilham bagi golongan remaja manakala pengumuman pada Oktober pula berhubung dengan peruntukan berjumlah RM8 bilion (S$2.7 bilion) bagi melaksanakan grid air untuk membekalkan air bagi seluruh Sarawak.

Mengenai politik pula, Datuk Patinggi Abang Johari menekankan bahawa PBB mesti menang semua kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Beliau menyeru pengundi Sarawak untuk memberi kemenangan besar kepada BN bagi membalas apa yang sudahpun diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Sarawak.

- BERNAMA/SM/sm

Komen Anda?

Top