Images
  • women only motor show
    Pameran kereta khas untuk wanita sahaja di Jeddah. (Gambar: REUTERS/Reem Baeshen)

Ruang pameran kereta khas untuk wanita dibuka di Arab Saudi

JEDDAH: Ribuan wanita Saudi membanjiri pusat beli-belah Le Mall di Jeddah pada Khamis (11 Jan) untuk melihat sendiri pameran kereta khas untuk wanita sahaja, lima bulan sebelum keputusan membenarkan wanita memandu berkuatkuasa pada 24 Jun.

Sebuah syarikat swasta Arab Saudi membuka ruang pameran, yang pertama seumpamanya untuk membolehkan kaum wanita di sana memilih kereta mereka sendiri dengan bebas.

Dalam keputusan bersejarah September tahun lalu, Raja Salman memberi kebenaran kepada wanita di Arab Saudi memandu, menghapuskan larangan hampir tiga dekad.

Bilik pameran itu menawarkan pelbagai pilihan kenderaan daripada pelbagai jenama dan dikendalikan oleh wanita sahaja.

"Memang sudah maklum bahawa wanita adalah sektor terbesar yang berbelanja di pusat beli-belah, seluruh pusat beli-belah ini dikendalikan oleh wanita, itu yang pertama sekali. Kedua, semua juruwang adalah wanita, pelayan restoran adalah wanita. Tujuannya adalah untuk membuat segala urusan dalam pameran kereta ini dikendalikan oleh wanita, " jelas Sharifa Mohammad, Ketua Penjualan pameran berkenaan.

Syarikat itu juga menyediakan wanita dengan kemudahan pembiayaan yang disediakan bank-bank dan syarikat kewangan terkemuka.

Ia merancang membuka lebih banyak ruang pameran kereta untuk wanita di negara yang kaya dengan hasil minyak itu. 

- Reuters/SU/im

Top