Images
  • muhyiddin pdrm
    (Gambar: Agensi berita)

Rombakan besar-besaran polis tidak benar, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Selasa (12 Jun) menafikan terdapat rombakan besar-besaran yang melibatkan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hal mengenai rombakan tersebut disiarkan oleh beberapa akhbar Malaysia sejak hari sebelumnya.

Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Muhyiddin berkata, menyusuli laporan terbabit, beliau menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan wakil media mengenai perkara berkenaan.

“Saya menafikan dakwaan rombakan besar-besaran yang melibatkan kepimpinan tertinggi PDRM bakal dibuat bulan depan seperti mana yang disiarkan di media massa."

“Bagaimanapun, selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan yang mengutamakan tadbir urus yang baik, saya sedang meneliti keperluan mengadakan rombakan di PDRM untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa memastikan setiap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan berfungsi dengan penuh tanggungjawab, telus dan berintegriti, menurut laporan Malaysiakini lagi.

Pada Isnin, beberapa akhbar Malaysia melaporkan akan berlaku rombakan besar-besar dalam PDRM antaranya melibatkan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beberapa pegawai kanan polis turut dikatakan akan digugurkan bulan depan menyusuli usaha kerajaan baru“membersihkan” badan penguatkuasaan itu.

Terdapat sumber yang mendakwa orang “nombor satu” PDRM akan menjadi orang pertama disingkirkan tetapi tidak menjelaskan sebabnya.

Encik Fuzi baru sembilan bulan dilantik ke jawatan itu oleh perdana menteri sebelum ini Najib Razak selepas pendahulunya bersara.

Tiga jabatan yang dikatakan akan dimansuhkan adalah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Menurut Malaysiakini lagi, sumber itu mendakwa ketiga-tiga jabatan berkenaan disyaki terlibat dalam rasuah untuk melindungi jenayah yang sepatutnya dibasmi mereka.

- Agensi berita/TQ/tq

Top