Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'RM18 bilion itu tidak hilang tapi....'

Ketua pembangkang Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wang pengembalian cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion (S$6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan untuk tujuan pembangunan.

Anggaran Waktu Membaca:
'RM18 bilion itu tidak hilang tapi....'

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Aug 2018 11:25PM Dikemas Kini : 09 Aug 2018 11:28PM

KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wang pengembalian cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion (S$6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan untuk tujuan pembangunan.

" Wang itu dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.

"Jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian, namun, jika wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet ataupun ucapan belanjawan atau di luar ucapan belanjawan maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di dewan untuk diperbahaskan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Khamis (9 Ogos).

Beliau mengulas pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sesi Dewan Rakyat semalam mengenai RM18 bilion (S$6 bilion) wang pengembalian kutipan GST ‘hilang’ di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Encik Lim ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 billion (S$6.5 bilion) dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Encik Lim berkata baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanyalah sekitar RM1.49 bilion (S$500 juta) sahaja, menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion (S$6 bilion).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Zahid meminta mantan Presiden UMNO Najib Razak untuk tidak berasa hati dengan tindakan beberapa anggota parti itu yang semakin lantang bersuara, termasuk mengkritik Encik Najib yang juga mantan Perdana Menteri.

Menurutnya, perbezaan pendapat antara anggota parti tidak harus didedahkan menerusi media terutama melalui surat terbuka seperti yang dilakukan sesetengah pemimpin parti itu.

"Pandangan saya lebih baik kita bekerja dan membetulkan keadaan daripada memberikan pandangan-pandangan yang akhirnya akan menggamit pelbagai interpretasi pro atau kontra terhadap pandangan yang dilontarkan oleh kita. Lebih baik kita bekerja daripada bercakap," katanya.

Sumber : Bernama/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan