Images
  • teen stabs baby
    Erica Gomez didakwa menikam bayinya sembilan kali sejurus selepas melahirkannya. (Gambar: Petikan video Fox News) 

Remaja 17 tahun tikam bayi 9 kali setelah lahirkannya

TEXAS: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berulang kali menikam bayinya yang baru lahir, sebelum meletakkan mayat bayi itu di pekarangan rumah jirannya. Remaja itu kemudian tidur, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Menurut laporan Fox News, Erica Gomez didakwa dengan tuduhan membunuh, yang dilakukannya pada 9 Februari.

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, Gomez mengaku melahirkan anaknya di bilik air. Dia membungkus bayinya dengan tuala dan meletakkannya di rumah jiran.

Gomez tidak memberitahu siapa-siapa kerana dia berasa takut, menurut polis seperti ditukil Fox News.

Ketika dia sedang tidur, ibu Gomez menyedari anaknya itu mengalami pendarahan lalu mengejarkannya ke hospital. Doktor-doktor di hospital mengatakan dia mengalami keguguran.

Rahsia Gomez terbongkar apabila jirannya yang berusia 13 tahun menemukan mayat bayi itu di pekarangan rumahnya.

Menurut polis, mayat bayi itu terbiar di pekarangan rumah tersebut selama 12 jam.

Bayi tersebut ditikam sebanyak sembilan kali – tiga di bahagian leher, satu di bahagian sisi dan lima di bahagian belakang, lapor Fox News.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top