Images
  • malaysia klcc
    (Gambar: Saeed Khan/AFP)

Rapat Hari Hak Asasi Manusia M'sia ditangguh dek amaran 'risiko keselamatan serius'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan hari ini (7 Dis) bahawa ia akan menangguhkan satu rapat yang dirancang diadakan pada Sabtu (8 Dis) sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memaklumkan Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri tanpa mendedahkan butiran lanjut bahawa acara esok akan mencetuskan risiko keselamatan serius yang melibatkan keselamatan negara," kata Razali Ismail, Pengerusi Suhakam, dalam satu kenyataan media.

Acara itu, yang dijadual berlangsung di Padang Timur di Petaling Jaya, sepatutnya diadakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 yang jatuh pada 10 Disember.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri acara itu.

"Suhakam kecewa kerana kerajaan yang komited kepada Hak Asasi Manusia seakan-akan terpengaruh dengan taktik tekanan dan ekstremisme,  sehingga terpaksa menangguhkan acara sambutan yang dirancang sejak beberapa bulan yang lalu.

“Kami memohon maaf kepada orang ramai, tetamu kami, peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam acara ini," tambah Encik Razali. 

Satu lagi rapat besar-besaran akan diadakan esok (8 Dis) di Kuala Lumpur, dengan ramai orang dijangka menyertainya.

Rapat anti-ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) akan diadakan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. Ini meskipun kerajaan Malaysia sudah mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasi ICERD.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) hari ini (7 Dis) mengeluarkan satu nasihat perjalanan yang menggesa rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak perlu ke Kuala Lumpur pada hujung minggu ini. 

- CNA/AI/ai

Top