Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rapat anti-ICERD di KL: 5 Perkara yang anda perlu tahu

Polis Malaysia sedang membuat persiapan bagi rapat besar-besaran yang dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, di tengah-tengah Kuala Lumpur hari ini (8 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Rapat anti-ICERD di KL: 5 Perkara yang anda perlu tahu

Kereta-kereta di persimpangan satu jalan raya di Kuala Lumpur. (Gambar: Jimin Lai/AFP)

Diterbitkan : 08 Dec 2018 08:55AM Dikemas Kini : 08 Dec 2018 08:58AM

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia sedang membuat persiapan bagi rapat besar-besaran yang dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, di tengah-tengah Kuala Lumpur hari ini (8 Dis).

Rapat tersebut dirancang sebagai membantah pengesahan Malaysia ke atas Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), satu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengutuk diskriminasi dan menggesa negara-negara supaya memperjuangkan dasar menghapus semua bentuk diskriminasi kaum.

Namun, perhimpunan itu dijangka diteruskan meskipun kerajaan sudah mengumumkan ia tidak lagi akan mengesahkan ICERD.

Parti-parti politik pembangkang, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia bersama kumpulan hak asasi Melayu, Perkasa sudah mengatakan mereka akan menyertai rapat tersebut.

Berikut adalah lima perkara utama tentang demonstrasi tersebut:

1. SASARAN PENGANJUR: 500,000 PESERTA

Para penganjur berkata mereka menyasarkan perhimpunan seramai 500,000 orang untuk melahirkan penghargaan kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana tidak mengesahkan ICERD.

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS mengisytiharkan hari Ahad sebagai cuti umum sempena rapat tersebut. Masyarakat Kelantan lazimnya bekerja dari Ahad hingga Khamis.

Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim bagaimanapun menyifatkan langkah oleh kerajaan Kelantan itu sebagai tidak munasabah.

"Itu pandangan saya, saya rasa tidak munasabah untuk mengisytiharkan hari cuti semata-mata kerana satu demonstrasi," katanya kepada media tempatan.

2. 6 JALAN RAYA DITUTUP

Rapat itu dijadualkan berlangsung di Jalan Raja dari jam 2.00 petang sehingga 6.00 petang hari ini (8 Dis).

Bagi mempermudahkannya, polis mengatakan enam jalan raya di tengah Kuala Lumpur akan ditutup.

Jalan-jalan raya yang terjejas adalah Jalan Sultan Hishamuddin, Leboh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Bulatan Dato' Onn.

Polis menambah, para peserta rapat dijangka bersurai pada jam 6.00 petang. Pihaknya juga sudah menasihati mereka supaya menaiki pengangkutan awam ke tapak perhimpunan.

Polis turut memberi amaran akan mengenakan saman ke atas kereta-kereta yang diletakkan di tepi jalan raya dan kereta-kereta itu juga mungkin ditunda.

3. POLIS RUSUHAN BERSIAP SEDIA

Polis Malaysia enggan mendedahkan jumlah anggota polis yang akan dikerahkan bagi rapat pada Sabtu (8 Dis), namun memberi jaminan kepada orang ramai jumlah pegawai mencukupi untuk memastikan prosiding berjalan lancar.

Polis turut mengesahkan bahawa unit anti-rusuhan Pasukan Simpanan Persekutuan bersiap sedia sekiranya mereka perlu dikerahkan.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Jumaat (7 Dis) mengeluarkan satu nasihat perjalanan yang menggesa rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan tidak perlu ke ibu kota Malaysia pada hujung minggu ini.

"Seperti mana dalam perhimpunan atau tunjuk perasaan besar-besaran, ada kemungkinan pergeseran berlaku secara terbatas dan terpencil," menurut MFA.

Polis Malaysia sudah memberi amaran terhadap para pembantah supaya tidak membawa sebarang senjata,mengelakkan sebarang provokasi dan mematuhi arahan para pegawai polis di tapak perhimpunan.

4. PASTIKAN TIADA GANGGUAN ATAU KEROSKAN, KATA PM MAHATHIR KEPADA PENGANJUR

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam (7 Dis), Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad berkata beliau tidak melihat keperluan rapat itu diteruskan, namun mengambil perhatian bahawa para penganjur meneruskannya "sebagai satu tanda penghargaan" terhadap keputusan kerajaan untuk tidak mengesahkan ICERD.

Beliau turut menggesa para penganjur rapat itu supaya memastikan tidak berlaku gangguan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

"Jika boleh, jangan buang sampah sembarangan dan jaga kebersihan sekitaran," katanya.

Anaknya, Encik Mukhriz Mahathir, Ketua Menteri Kedah, ditukil akhbar New Straits Times sebagai berkata bahawa rapat itu "tidak lebih daripada satu perhimpunan politik."

"Apa yang lebih teruk adalah isu-isu perkauman dan agama yang mereka bangkitkan," kata Encik Mukhriz.

"Perkara ini, jika tidak dipantau, boleh mencetuskan kegelisahan dan ketegangan dalam kalangan rakyat. Kami harus memberi tumpuan kepada perpaduan buat masa ini."

5. RAPAT HAK ASASI MANUSIA YANG DIJADUALKAN DI PETALING JAYA DITANGGUH

Satu rapat di Petaling Jaya sempena Hari Hak Asasi Kemanusiaan Antarabangsa, yang sebelum ini dijadualkan berlangsung hari ini (8 Dis), ditangguhkan sehingga esok (9 Dis) kerana "risiko keselamatan serius", umum penganjurnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam (7 Dis).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memaklumkan Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri tanpa mendedahkan butiran lanjut bahawa acara esok akan mencetuskan risiko keselamatan serius yang melibatkan keselamatan negara," kata Pengerusi Suhakam Razali Ismail dalam satu kenyataan media.

Dr Mahathir dijangka menghadiri acara tersebut yang dijadual berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya.

Meskipun dua rapat itu dijadualkan pada hari yang sama, Pesuruhjaya Suhakam dan penganjur rapat Jerald Joseph memberitahu media tempatan bahawa perhimpunan hak asasi kemanusiaan itu bukanlah "satu rapat pro-ICERD".  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan