Images
  • passport
    Pintu masuk ePasport di Lapangan Terbang Heathrow. (Gambar: Wikimedia Commons)

Rakyat S'pura boleh guna pintu ePasport UK mulai pertengahan 2019

LONDON: Rakyat Singapura yang mengunjungi United Kingdom akan dapat menggunakan pintu masuk ePasport mulai pertengahan 2019. Demikian menurut Setiausaha Pejabat Ehwal Dalam Negeri Britain, Encik Sajid Javid, dalam satu kenyataan media hari ini(4 Dis).

Kemudahan pintu ePasport membolehkan para penumpang yang layak, menjalani proses pelepasan imigresen dengan cepat. Buat masa ini, ia ditawarkan kepada warga Britain dan Kesatuan Eropah.

Usulan baru itu dijangka dilaksanakan pada musim panas 2019, dan membolehkan warganegara Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia dan Jepun menggunakan pintu masuk ePasport.

Menurut kerajaan UK, ia menunjukkan "komitmen negara itu untuk membangunkan sebuah sistem imigresen global yang baru apabila negara itu meninggalkan Kesatuan Eropah."

"UK sememangnya terbuka kepada pengunjung dari seluruh dunia dan peluasan kemudahan itu sebahagian daripada usaha kami untuk membaiki lagi pengalaman pengunjung yang datang ke UK," kata Encik Sajid Javid.

Dengan usulan itu, tambahan 6.5 juta penumpang setahun dianggarkan akan menggunakan laluan ePasport untuk memasuki sempadan Britain.

259 pintu masuk ePasport kini beroperasi di 14 pelabuhan merata UK. Kemudahan itu boleh digunakan oleh penumpang berusia 18 tahun ke atas yang menggunakan pasport biometrik.

Para penumpang berusia antara 12 tahun dengan 17 tahun juga boleh menggunakan pintu itu jika mereka ditemani orang dewasa.

Pintu masuk ePasport menggunakan teknologi pengenalan wajah bagi membandingkan paras rupa penumpang dengan gambar pasport mereka. Sistem itu juga secara automatik akan memeriksa sekiranya penumpang itu berada dalam senarai pemantauan. Sesiapa yang ditolak masuk oleh pintu itu akan dihantar ke saluran yang lain bagi pemeriksaan pasport.

- CNA/NA/na

Top