Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Qatar hulurkan Gaza bantuan AS$90 juta bagi reda ketegangan

Para kakitangan awam Palestin beratur panjang di Gaza pada Jumaat (9 Nov) untuk menerima gaji yang dibiayai Qatar berjumlah jutaan dolar. Ia sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan di wilayah miskin itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar hulurkan Gaza bantuan AS$90 juta bagi reda ketegangan

Kakitangan awam Gaza berpusu-pusu mengambil wang gaji tertunggak yang dibiaya bantuan Qatar (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Nov 2018 08:41AM Dikemas Kini : 10 Nov 2018 12:15PM

GAZA: Para kakitangan awam Palestin beratur panjang di Gaza pada Jumaat (9 Nov) untuk menerima gaji yang dibiayai Qatar berjumlah jutaan dolar. Ia sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan di wilayah miskin itu.

Buat dua Jumaat berturut-turut, pertempuran sepanjang sempadan Gaza dan Israel disifatkan kurang ganas berbanding minggu-minggu sebelumnya. Namun, menurut kementerian kesihatan Gaza, seorang warga Palestin maut dan 37 cedera akibat tembakan tentera Israel.

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di beberapa tempat di sepanjang kawasan sempadan namun kebanyakannya tidak menghampiri tembok pemisah, menurut para koresponden.

Dalam operasi Qatar itu, jumlah keseluruhan AS$90 juta (S$123.5 juta) akan diedarkan melalui enam bayaran ansuran bulanan sebanyak AS$15 juta (S$20.6 juta), menurut pihak berkuasa. Sejumlah besar wang tersebut adalah bagi membiayai gaji para pegawai yang bekerja untuk gerakan Hamas yang memerintah Gaza.

Beberapa warga Gaza yang keluar dari pejabat-pejabat pos di mana agihan diadakan dilihat menggenggam wang ratusan dolar selepas menerima gaji yang tidak menentu sebelum ini.

Menurut sumber Hamas, wang itu dibawa masuk menerusi Israel pada lewat Khamis oleh utusan Qatar ke Gaza, Mohammed al-Emadi, yang membawa bagasi-bagasi diisi wang tunai.

Pemindahan wang yang diluluskan Israel itu dilihat sebagai sebahagian daripada satu perjanjian untuk Hamas menamatkan bantahan yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan di sempadan. Sebagai pertukaran, Israel pula akan melonggarkan sekatannya ke atas Gaza.

Qatar juga menyatakan ia akan mengagihkan AS$100 (S$138) kepada setiap daripada 50,000 keluarga miskin, serta jumlah lebih besar bagi rakyat Palestin yang cedera dalam pertempuran sepanjang sempadan Gaza dengan Israel.

Mohamed Abed al-Hadi, 27 tahun berkata beliau akan diberikan 700 shekel (S$262), "satu jumlah yang agak besar memandangkan keadaan kehidupan kami sekarang ini", sebagai pampasan untuk kecederaan yang beliau alami semasa pertempuran di sempadan.

'MENYERAH KEPADA PENGGANASAN'

Pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Ahmed Majdalani menyuarakan rasa tidak puas hati Penguasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Tebing Barat, berhubung perjanjian itu.

"PLO tidak bersetuju dengan perjanjian yang mengagihkan wang kepada Hamas secara begitu," Encik Majdalani, yang rapat dengan presiden Palestin Mahmud Abbas, memberitahu AFP.

Beliau berkata, perjanjian sedemikian menghambat usaha Mesir untuk mendamaikan Hamas dan PA dan membolehkan gerakan itu untuk mengukuhkan kuasanya ke atas Gaza.

Hamas menguasai Gaza sejak ia menyingkirkan para penyokong yang setia kepada PA yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam konflik yang hampir mencetuskan perang saudara pada 2007.

Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman menyelar pemindahan wang oleh Qatar ke Gaza.

"Ini adalah satu penyerahan kepada pengganasan dan hakikatnya Israel membeli ketenangan jangka pendek dengan wang, namun menjejas keselamatan jangka panjang," katanya, seperti dipetik akhbar Yediot Aharonot pada Jumaat.

Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang mengusahakan rundingan tidak langsung untuk mencapai gencatan senjata jangka panjang antara Hamas dengan Israel, yang berperang tiga kali sejak 2008.

Pertempuran ganas berlaku dalam bantahan besar-besaran di sepanjang sempadan Gaza dengan Israel sejak 30 Mac hingga mengakibatkan korban nyawa. Ia juga mencetuskan kebimbangan berlaku perang baru antara Israel dan Hamas.

Sekurang-kurangnya 221 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel. Kebanyakannya ditembak semasa tunjuk perasaan dan pertempuran, manakala yang lain meninggal dunia dalam serangan kereta kebal atau serangan udara.

Seorang askar Israel dibunuh oleh seorang penembak hendap Palestin.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan