Images
  • putera mahkota saudi
    Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman. (Gambar: AFP / Fayez Nureldine)

Putera Mahkota Saudi akan melawat Rumah Putih pada 20 Mac

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menjadi tuan rumah kepada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman pada 20 Mac ini, menurut kenyataan Rumah Putih semalam (12 Mac).

"Presiden mengalu-alukan rundingan untuk mengukuhkan hubungan antara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi," kata jurucakap Rumah Putih Sarah Sanders semasa mengumumkan mesyuarat tersebut.

Putera Mahkota yang amat berpengaruh itu mengunjungi Mesir, Britain dan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada lawatan luar negara yang panjang dan ia merupakan lawatan sulung sebagai putera mahkota Saudi.

Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Encik Trump dan menantunya Jared Kushner, yang kelihatan menyokong usaha Putera Mohammed untuk mengukuhkan lagi pengaruh dan kuasanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Para pengkritik menyifatkan kempen putera mahkota itu sebagai muslihat untuk membawa perubahan kepada Arab Saudi sambil memperluaskan lagi bidang kuasanya meskipun pihak berkuasa menegaskan bahawa kempen tersebut bertujuan untuk membasmi rasuah sedang negara itu bersiap sedia memasuki era pasca minyak.

Putera Mahkota Saudi itu menarik perhatian Barat dengan menjanjikan masyarakat yang lebih terbuka di Arab Saudi dengan mengizinkan wanita untuk memandu dan melonggarkan peraturan terhadap hiburan.  

- AFP/FA/fa

Komen Anda?

Top