Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Proses pengecaman mayat QZ8501 semakin rumit

Para pegawai Unit Kenal Pasti Mangsa Bencana atau DVI berhadapan dengan beberapa cabaran mengenal pasti mayat-mayat mangsa nahas QZ8501 yang ditemui.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jan 2015 08:34PM Dikemas Kini : 20 Jan 2015 04:56PM

SURABAYA: Para pegawai Unit Kenal Pasti Mangsa Bencana (DVI) kini berhadapan dengan beberapa cabaran mengenal pasti mayat-mayat mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501.

Salah satu cabaran ialah data pramortem yang tidak lengkap, seperti cap jari dan rekod pergigian untuk membantu dalam proses bedah siasat.

Kebanyakan mayat yang ditemui tidak lagi mempunyai cap jari atau ciri-ciri fizikal yang boleh dicam. Justeru, para pegawai DVI perlu bergantung kepada sampel DNA atau rekod pergigian untuk mengenal pasti mayat-mayat secara tepat. 

Sejauh ini, sebanyak 48 mayat daripada sebanyak 162 penumpang dan kru sudah ditemui di Laut Jawa.

Ketua DVI, Encik Budiyono, berkata: "Banyak yang bertanya mengapa kami mengumumkan mayat yang dikenal pasti sedikit demi sedikit.

"Sebenarnya, bukan dilakukan sedikit demi sedikit, pemeriksaan ini. Betul-betul keadaan kami, baik dari data yang kami temukan di pramortem atau pos mortem pada khususnya, keadaannya tidak sebagus yang kita inginkan.

"Namun kerja keras setiap hari diulang-ulang dengan keadaan jenazah yang kurang baik. Akhirnya, kita juga, setiap hari, Alhamdulillah, mampu melakukan identifikasi terhadap korban."

Mengenal pasti jenazah adalah satu proses yang rumit kerana setiap mayat yang dibawa ke bilik mayat perlu dibandingkan dengan data pramortem milik sebanyak 162 penumpang dan kru QZ8501 - seperti cap jari, sampel DNA, rekod pergigian, ciri-ciri fizikal dan pakaian terakhir yang dipakai mangsa, sebelum dibedah siasat.

Pakar pergigian forensik, Polis Nasional, Encik A. Fauzi, berkata: "Gigi merupakan bahagian yang sangat keras dari bahagian tubuh, sehingga boleh tahan dek trauma, tapi dalam keadaan tenggelam, kerap kali pembusukan sangat cepat.

"Sejauh ini masih banyak gigi yang masih ada dalam soketnya. Jadi, mudah untuk dikenal pasti, tapi dalam keadaan lain, ketika misalnya waktunya sangat panjang (sudah terlalu lama di dalam laut) ada kemungkinan gigi boleh terlepas dari soketnya." 

Pegawai DVI kini bertungkus-lumus mencari maklumat lain kerana data pramortem tidak lengkap ternyata merumitkan proses tersebut. 

Mereka kini mengambil langkah proaktif dengan menjelajah sendiri ke pelbagai tempat, tanpa menunggu anggota keluarga mangsa memberikan data yang diperlukan.

Ada yang membuat perjalanan ke Jakarta, dan ada pula ke kampung terpencil di Pulau Leti, menempuh 30 jam perjalanan laut dari Ambon, untuk mencari data yang diperlukan bagi melengkapkan proses pengecaman mayat. 

Sumber : CNA/iz/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan