Images
  • hsr display
    (Gambar: The Malaysian Insight)

Projek HSR KL-S'pura ditunda, bukan dibatalkan, kata Mahathir

KUALA LUMPUR: Projek kereta api laju (HSR) antara ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur dengan Singapura belum dibatalkan tetapi setakat ditangguhkan, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad. Ini berbeza berbanding kenyataan awal beliau yang mengatakan bahawa perjanjian tersebut akan dibatalkan sama sekali.

Dalam wawancaranya bersama media Jepun yang diterbitkan dalam Asian Nikkei Review pada Isnin malam (11 Jun), Dr Mahathir menerangkan bahawa projek itu ditangguhkan kerana kosnya yang sangat tinggi, iaitu RM110 bilion (S$37 bilion).

"Kita tidak boleh cakap kita tidak akan ada kereta api laju di Malaysia. Apa yang boleh kita lakukan adalah menangguhkan projek tersebut kerana ia terlalu mahal buat masa ini," beliau dilaporkan sebagai berkata dalam sesi soal jawab.

Pada bulan lalu, Dr Mahathir ada mengatakan bahawa projek kereta api sejauh 350 kilometer itu - yang ditandatangani oleh mantan perdana menteri Najib Razak pada 2016 - perlu dibatalkan kerana ia tidak memanfaatkan negara dan kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan dan pelaburan untuk "mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis", setelah mendedahkan bahawa hutang negara sudah melebihi RM1.09 trilion (S$0.36 trilion).

Dr Mahathir pada ketika itu menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah muktamad, tetapi kemudian berkata bahawa beliau bersedia mendengar permintaan Singapura jika negara itu ingin meneruskan projek tersebut.

"Kami akan dengar dahulu apa yang mereka ingin katakan. Mereka adalah rakan kerja yang baik," kata beliau pada 30 Mei, sambil menambah bahawa beliau bersetuju untuk menyemak semula HSR dan projek mega lain selepas kedudukan kewangan Malaysia bertambah baik.


Sungguhpun demikian, keputusan Dr Mahathir untuk membatalkan projek HSR dibidas oleh Encik Najib, yang mendakwa bahawa ini akan menyebabkan kerajaan Malaysia mengalami kerugian pada Pendapatan Negara Kasar (GNI) bernilai RM650 bilion (S$217.3 bilion) dan sekitar 442,000 peluang pekerjaan.

Menyusuli komen awal Dr Mahathir tentang isu ini, Kementerian Pengangkutan Singapura menyatakan ia belum mendapat pemberitahuan rasmi dari Putrajaya mengenai keputusan untuk membatalkan projek berkenaan.

Beberapa hari kemudian, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata Singapura sudah meminta kerajaan Malaysia memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Encik Khaw juga berkata jika Malaysia membatalkan projek HSR, Singapura akan mengkaji kesannya dan akan menggunakan haknya termasuk mendapatkan pampasan bagi kos yang sudah dibiayai, mengikut syarat-syarat perjanjian dua hala yang sudah dimeterai.

Rakan sejawatan Encik Khaw di Malaysia Anthony Loke berkata pada Selasa, sebuah pasukan rundingan terdiri daripada Menteri Kewangan, Ehwal Ekonomi dan Pengangkutan akan ke Singapura untuk membincangkan perjanjian HSR.


Dijadual selesai dibina pada 2026, projek tersebut bermatlamat untuk menyingkatkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dengan Singapura kepada hanya 90 minit, berbanding empat jam jika memandu.

Ia disebut-sebut oleh pemimpin kedua-dua belah pihak sebagai satu titk perubahan yang akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dan rakyat masing-masing.

Dalam wawancara bersama akhbar harian Jepun itu, Dr Mahathir juga membayangkan bahawa kerajaan mungkin akan menimbangkan projek yang merangkumi jarak perjalanan yang lebih jauh di "sepanjang Semenanjung Malaysia" agar perjalanan di bawah projek HSR lebih berbaloi.

"Kereta api laju paling berkesan adalah bagi perjalanan yang sangat panjang. Jika perjalanannya singkat, ia tidak banyak membawa kesan," tambah beliau.

- Agensi berita/TQ/tq

Komen Anda?

Top