Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden PAS akur Dr Mahathir kini lebih baik

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengakui sikap Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh ini adalah lebih baik berbanding sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden PAS akur Dr Mahathir kini lebih baik

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 15 Sep 2018 05:01PM Dikemas Kini : 15 Sep 2018 05:05PM

KUALA NERUS: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengakui sikap Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh ini adalah lebih baik berbanding sebelum ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, Dr Mahathir mempunyai pengalaman yang banyak dalam pentadbiran negara dan tentunya lebih matang berbanding sebelum ini.

“Dulu beliau (Dr Mahathir) umur 40-an sekarang 90-an. Suasana masyarakat berubah, keadaan berubah... pemikirannya juga berubah. Pengalaman beliau lebih banyak lagi dan beliau belajar dari pengalaman dulu.

“Daripada pengalaman dulu tu, kita jangka beliau sekarang jadi lebih matang sebab tu Dr Mahathir janji nak bagi royalti kepada Kelantan dan Terengganu,” kata Encik Abdul Hadi semasa sidang media yang diadakan selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-64 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu hari ini (15 Sep).

Turut hadir adalah Timbalan Presiden PAS Ibrahim Tuan Man, Musyidul Am PAS Hasyim Jasin dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Ketika ditanya mengenai kerjasama antara PAS dengan UMNO, Encik Abdul Hadi berkata ia bukanlah kali pertama kedua-dua pihak bekerjasama. Malah, PAS sentiasa menjadi platform kepada pemimpin yang dibuang dan ditolak oleh parti masing-masing.

“Suatu ketika dulu kita terima mana-mana anggota UMNO yang dipecat supaya tidak disambar ‘jerung’ (dicampak dari kapal) termasuklah Dr Mahathir lepas dipecat oleh Tunku (Tunku Abd Rahman), di mana pentas PAS jadi tempat ceramah Tun Mahathir di Selangor pada tahun 1969 dengan pengikutnya.

“Begitu juga dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. PAS jadi platform untuk menyelamat pemimpin ini supaya kita tidak hilang pemimpin dan mereka boleh ‘menyambung nafas’ melalui tali hayat pentas kita,” kata beliau.

Selain itu, semas menjawab soalan sama ada PAS sudah bersedia untuk menyertai Pakatan Harapan, Encik Abdul Hadi berkata: “Kita akan tunggu dan lihat. Itu kebiasaan dalam demokrasi... negara demokrasi ini, kita tidak berperang dengan tegang. Kita lihat sekiranya mereka boleh terima agenda kita dengan positif. Dalam politik kawan jadi lawan, lawan jadi kawan."

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan