Presiden Mongolia harap Dr Mahathir tegakkan keadilan bagi Altantuya
Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga berharap Perdana Menteri Malaysia yang baru, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat melihat kembali kes pembunuhan Shariibuu Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006, dan sehingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya.
KUALA LUMPUR: Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga berharap Perdana Menteri Malaysia yang baru, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat melihat kembali kes pembunuhan Shariibuu Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006, dan sehingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Menurut satu perutusan khas bagi mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir di atas pelantikan beliau menerajui negara ini, Presiden Battulga menyatakan, kes yang melibatkan rakyat Mongolia itu mengakibatkan ketidaksenangan dari segi hubungan dua hala, dan juga rakyat dua negara ini, lapor Astro Awani.
“Saya amat berharap agar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat memberi perhatian khusus bagi menegakkan keadilan, melaksanakan apa jua keputusan mahkamah, serta menyelesaikan tuntutan sivil oleh keluarga mendiang dengan adil dan saksama.
“Ini bagi menyemarakkan dan mengembalikan suasana mesra dari segi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Mongolia,” tambah Presiden Battulga, dalam perutusan yang disiarkan Agensi Berita Nasional Mongolia, Montsame.
Pada awal perutusan itu, menurut Astro Awani, Encik Battulga berkata Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir selama 22 tahun membangun dengan pesat, dan reputasinya di peringkat serantau dan antarabangsa diperkukuhkan dengan hebat.
“Adalah satu penghormatan untuk mengimbas kembali lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke Mongolia pada tahun 1997, di mana ia memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan hubungan dua hala dan peningkatkan kerjasama antara dua negara.
“Saya amat yakin Yang Amat Berhormat dapat menghulurkan bantuan dalam mengembali dan mengaktifkan hubungan mesra yang berlangsung secara tradisi antara Mongolia dan Malaysia, dan juga meningkatkan hubungan antara rakyat,” katanya lagi seperti ditukil Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.