Images
  • thai police
    Gambar fail polis Thailand. (Gambar: AFP/Pornchai Kittiwongsakul)

Polis Thai tahan lori bawa 280kg heroin sebelum masuk sempadan M'sia

BANGKOK: Polis Thailand memintas sebuah lori yang membawa 280 kg heroin di sebuah pusat pemeriksaan imigresen dan kastam di Narathiwat, selatan Thailand hanya beberapa minit sebelum ia memasuki sempadan Kelantan, Malaysia pada Ahad (11 Mac).

Menurut ketua Biro Antinarkotik (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, dua lelaki rakyat tempatan dari wilayah Pattani yang berada dalam lori tersebut ditahan dalam operasi polis pada jam 5.00 petang (waktu tempatan).

"Kami berjaya menahan lori dengan muatan 280kg heroin di pusat pemeriksaan imigresen dan kastam Narathiwat sejurus sebelum ia memasuki sempadan Malaysia. Apabila diperiksa, para pegawai menemui 800 ketulan heroin seberat 280kg disembunyikan dalam lori itu," kata beliau kepada Bernama hari ini.  

Beliau berkata kejayaan operasi itu juga adalah hasil kerjasama rapat antara polis antinarkotik Thailand dan rakan sejawatan mereka dari Malaysia yang ditempatkan di sepanjang sempadan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengenai peranan polis dari Malaysia dalam operasi itu.

Kedua-dua suspek dibawa ke balai polis untuk disoal siasat selanjutnya berhubung penemuan dadah dalam lori tersebut, kata Lt Jen Sommai.

- BERNAMA/IM/im

Komen Anda?

Top