Images
  • malaysia police
    Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Polis tahan 2 anggota geng pecah rumah

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki anggota geng pecah rumah yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam serbuan berasingan di Seberang Jaya pada Isnin (12 Jun).

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sepasukan polis yang sedang menjalankan Op Pencegahan Jenayah di Seberang Jaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5.00 pagi.

Lelaki yang dikenali dengan gelaran 'juling' itu mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah bersama dua rakannya sebelum polis menyerbu rumah lelaki berkenaan di Seberang Jaya.

“Polis berjaya menahan seorang daripada rakan suspek berusia 37 tahun dan susulan itu kami merampas pelbagai barangan hasil kegiatan pecah rumah geng berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata antara yang dirampas adalah 20 bentuk anting-anting emas, pelbagai komputer riba, peralatan elektrik serta pelbagai telefon bimbit yang semuanya bernilai lebih RM10,000.

Nik Ros Azhan berkata polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah antaranya parang, pemutar skru, spanar dan sejumlah kunci rumah bersama dua lelaki berkenaan. Siasatan mendapati mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini.

Katanya modus operandi kumpulan itu ialah membuat pemantauan rumah yang tiada penghuni sebelum memecah masuk kediaman berkenaan dan melarikan barangan berharga termasuk peralatan elektrik.

"Dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Kanun Keseksaan. Usaha mengesan seorang lagi rakan mereka giat dijalankan," katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top