Images
  • polis malaysia
    Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Polis siasat kes anggotanya tumbuk, tampar pelajar

IPOH: Pihak polis membuka kertas siasatan berhubung seorang pelajar ditumbuk serta ditampar oleh seorang anggota polis di kawasan berhampiran Hospital Sungai Siput di Ipoh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata bahawa dalam insiden awal pagi Selasa lalu (11 Jun), lelaki berusia 23 tahun itu dikejar kereta peronda polis selepas dia tidak memberhentikan keretanya sewaktu lampu isyarat merah berhampiran sebuah stesen minyak di Chemor.

Beliau berkata polis berjaya menahan lelaki itu di kawasan berhampiran hospital berkenaan.

“Pengadu kemudiannya membuka pintu kereta dan salah seorang polis dikatakan tumbuk dan menamparnya.

“Pengadu juga telah dibawa ke Balai Polis Chemor dan disaman bagi kesalahan lalu lintas kerana tidak berhenti di lampu isyarat sewaktu ia berwarna merah,” katanya.

SAC Yahya selanjutnya berkata bahawa kes akan disiasat mengikut Seksyen 24 Akta Polis.

Katanya, seksyen itu memperuntukan kepada pihak polis untuk memberhentikan dan memeriksa kenderaan yang disyaki melakukan kesalahan berkaitan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

“Kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran, boleh didenda tidak lebih RM500 (S$167) atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Menurut SAC Yahya, pengadu kemudian membuat aduan polis dengan mengatakan dia ditumbuk serta ditampar oleh pihak polis kira-kira pukul 3.15 petang pada hari yang sama.

“Kes itu disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan. Pengadu juga telah diarahkan untuk menjalani rawatan di hospital yang berdekatan,” katanya sambil menambah kedua-dua kes itu disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput.

- BERNAMA/SM/sm

Top