Images
  • Jho low
    Gambar fail Jho Low. (Gambar: Dimitrios Kambouris/AFP)

Polis kenal pasti lokasi sebenar Jho Low

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah mengesan lokasi sebenar ahli perniagaan kontroversial dan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun mengatakan bahawa lokasi Jho Low tidak akan didedahkan kepada umum.

“Saya tidak akan dedahkannya (lokasi Jho Low) kerana ia masih dalam siasatan kami lagi.

“Tindakan itu diambil bagi melancarkan proses siasatan dan tidak mahu siasatan yang dijalankan terganggu,” kata Encik Noor Rashid.

Beliau menambah, polis perlu berbincang dengan pihak berkuasa negara terbabit kerana ia membabitkan kedaulatan undang-undang negara itu.

Pada 11 Julai lalu, PDRM mengesahkan Jho Low dipercayai meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya dan perkara itu sudah dimaklumkan melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.

Emel itu memaklumkan bahawa Jho Low sudah meninggalkan Macau dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan. Pada 5 Julai, Jho Low disahkan sudah melarikan diri ke Macau.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali berkata Jho Low dipercayai menggunakan pasport negara lain buat masa ini selepas Jabatan Imigresen Malaysia membatalkan pasportnya pada 15 Jun lalu. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top