Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis enggan sahkan temui 100kg emas di kondominium Najib

Meskipun pelbagai kisah mengenai rampasan pihak berkuasa ke atas barangan mewah tular di media sosial, tidak ada sebarang pengesahan mengenainya dikeluarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis enggan sahkan temui 100kg emas di kondominium Najib

72 beg wang dan barang kemas serta 284 beg tangan dirampas di kediaman Datuk Seri Najib Razak. (Gambar: MyWatch/Twitter)

Diterbitkan : 18 May 2018 04:55PM Dikemas Kini : 18 May 2018 05:01PM

KUALA LUMPUR: Meskipun pelbagai kisah mengenai rampasan pihak berkuasa ke atas barangan mewah tular di media sosial, tidak ada sebarang pengesahan mengenainya dikeluarkan.

Malah, dalam petikan laporan Malaysiakini, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, masih terlalu awal untuk pihaknya memberikan pengesahan.

"Saya rasa ia pramatang... terlalu awal untuk mengesahkan atau menafikan barang-barang yang dirampas," katanya kepada media pagi tadi.

Menurut Datuk Seri Amar Singh, polis berpendirian sedemikian kerana setakat ini mereka belum memperincikan sepenuhnya barang yang diramas berkenaan, lapor Malaysiakini.

Awal dari itu, akhbar Sin Chew Daily melaporkan polis menyita lebih 100kg jongkong emas dari dua unit kediaman mewah di Pavillion Residence di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur. Selain itu polis turut dikatakan merampas wang tunai lebih RM100 juta (S$34 juta). Hakikatnya, belum ada pengesahan rasmi bagi semua itu.

Hasil penggeledahan di dua unit kediaman yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB itu, Datuk Seri Amar Singh juga membuat kenyataan mengejutkan.

Polis memerlukan lima buah lori untuk mengangkut semua barang yang dirampas itu ke Bukit Aman. Antaranya ialah 72 beg wang dan barang kemas serta 284 beg tangan. Wang tunai yang dirampas itu pula dalam pelbagai mata wang.

Dalam tukilan laporan Malaysiakini, polis juga menggeledah lima lokasi lain yang didapati berkaitan dalam siasatan mereka, termasuk Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya serta rumah anggota parlimen pembangkang dari Pekan Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Sejumlah dokumen berkaitan 1MDB juga dirampas.

Setakat berita ini ditulis, polis masih terus berada di rumah Najib di Jalan Langgak Duta itu. Antara lain mereka masih cuba membuka sebuah peti besi yang ditemui di rumah berkenaan pada pagi semalam.

Sebelum ini, peguam Najib Datuk Harpal Singh Grewal mendakwa peti besi itu tidak dibuka-buka sejak 20 tahun lalu kerana kuncinya tidak ditemui.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan