Images
  • PM Thai

PM Thai ucap terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi menyelamat

THAILAND: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang terlibat dalam gerakan menyelamatkan 12 belia dan seorang jurulatih bola sepak yang terperangkap di dalam gua yang dibanjiri air di utara negara itu.

Kesemua mereka berjaya dibawa keluar dalam operasi tiga hari yang berakhir malam semalam (10 Jul).

Dalam ucapannya ke seluruh negara, PM Prayut berkata kerajaan Thailand menggunakan segala keupayaan dan asetnya untuk menyokong operasi mencari dan menyelamatkan 13 orang itu.

Menurut beliau pengorbanan dan bantuan yang diterima dari dalam dan luar negara serta sokongan moral dari semua pihak, membolehkan misi itu berjaya. PM Prayut juga memberi sanjungan khusus kepada bekas juruselam elit tentera Thai, Saman Kunan yang maut semasa menjalankan misi itu.

Secara keseluruhannya sekitar 10,000 orang terlibat, secara langsung dan tidak langsung, dalam misi menyelamat selama 17 hari itu. Rasa gembira tidak dapat dibendung apabila tersebar berita misi menyelamat berakhir dengan jayanya.

Kesemua 13 anggota pasukan bola sepak remaja itu pula sedang menjalani kuarantin dan rawatan di hospital.

Pihak berkuasa menyatakan kesemua mereka dalam keadan baik, tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami tekanan perasaan atau jangkitan penyakit serius meskipun terperangkap di dalam gua selama lebih dua minggu.

- CNA/MU/na

Top