PM Najib akan tinjau keadaan banjir di Kelantan esok
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat Kelantan esok untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu dan juga memantau usaha membantu mereka yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri lain.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat Kelantan esok untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu dan juga memantau usaha membantu mereka yang terjejas akibat banjir di enam negeri lain.
Jabatan Perdana Menteri Malaysia menyatakan, setibanya di sana, beliau akan mempengerusikan mesyuarat dan mendengar taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara, kerajaan negeri dan pasukan penyelamat setempat.
Perdana Menteri itu juga akan menemui penduduk yang terjejas dengan banjir dan membincangkan langkah-langkah baru untuk membantu mereka yang terpaksa berpindah, kata kenyataan itu.
Banjir yang dianggap paling teruk melanda Malaysia dalam berdekad-dekad lamanya itu memaksa sekitar 120,000 dipindahkan dari tempat tinggal mereka, sementara lima orang terkorban sejauh ini. Johor menjadi negeri yang terbaru dilanda banjir setelah dua daerah melaporkan paras bah yang meningkat hari ini, dengan lebih 210 orang dipindahkan.
Seorang jurucakap kerajaan berkata Datuk Seri Najib mengambil keputusan untuk kembali dari Amerika Syarikat untuk memantau usaha bantuan kecemasan.
"Berikutan laporan baru-baru ini bahawa keadaan terus bertambah buruk, Perdana Menteri berpendapat bahawa adalah perlu untuk pulang bagi memantau sendiri usaha penyaluran bantuan," tambah Pejabat PM lagi.
Jurucakap berkenaan berkata semasa berada di luar negara, Datuk Seri Najib menerima maklumat terkini setiap hari tentang keadaan banjir di Malaysia.
Datuk Seri Najib juga berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara supaya meningkatkan usaha membantu mereka yang terjejas akibat banjir, menurutnya.
PM Najib berkata beliau amat bimbang dengan keadaan banjir, dan bersimpati dengan mereka yang kehilangan rumah dan keluarga yang kehilangan orang tersayang.
"Ketika berada di luar negara, saya sentiasa berhubung dengan Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara yang memberi jaminan kepada saya bahawa mereka sedang melakukan apa yang termampu untuk membantu mereka yang terjejas. Tetapi saya mahu melihat sendiri keadaan dan bersama-sama rakyat," kata Datuk Seri Najib.
Setakat petang tadi, tujuh negeri terjejas akibat banjir - Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.