Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Mahathir Mohamad beri jaminan UMNO takkan mudah ambil alih PPBM

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan dapat mengambil alih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan mudah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Dec 2018 06:22PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 09:47PM

MALAYSIA: Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan dapat mengambil alih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan mudah.

Menurut beliau PPBM mengenakan syarat ketat untuk Anggota Parlimen dan pemimpin UMNO yang keluar parti sebelum diterima menyertai parti itu.

Mengulas kemungkinan ramai bekas pemimpin dan anggota UMNO akan menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata permohonan mereka akan diteliti dan tingkah laku mereka diperhatikan untuk memastikan mereka layak menyertai partinya.

Dr Mahathir berkata, Bersatu hanya mengalu-alukan mereka yang bebas daripada sebarang salah laku, atau mereka yang bukan penyokong kuat mantan Perdana Menteri Najib Razak.

UMNO menghadapi krisis dengan tindakan beberapa pemimpin dan anggota untuk keluar parti dan menjadi anggota bebas.

Kemelut terbaru melanda UMNO apabila Presiden Parti Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam (18 Dis) mengumumkan bahawa beliau dengan serta merta menyerahkan tugas-tugasnya kepada Timbalan Presiden, Mohamad Hasan.

Keputusan itu diambil ekoran tekanan yang memuncak dari dalam parti supaya beliau berundur.

Berucap kepada para pemimpin UMNO Dr Ahmad Zahid mempertahankan bahawa beliau adalah pemimpin yang tepat untuk mengukuhkan kembali UMNO pada masa depan.

"Azam saya tetap satu. Biarpun kita ditolak, biarpun kita diaibkan.
Namun, untuk membubarkan UMNO, atau memadamkan UMNO tidak ada di dalam kamus politik saya," kata Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kebanyakan pemimpin UMNO yang bertindak keluar parti sudah menyalahkan kepimpinan beliau yang mereka katakan sebagai tidak menetapkan hala tuju parti untuk kembali teguh seperti sebelumnya. Sejak hilang kuasa pada pilihan raya umum Mei lalu, 17 Ahli Parlimen UMNO sudah keluar parti dan kini hanya tinggal 37 wakilnya dalam Parlimen.

Dr Zahid sendiri berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas dakwaan menggunakan politik wang, selain daripada puluhan dakwaan lain berkaitan rasuah dan pecah amanah.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan