Images
  • israel
    (Gambar: AFP)

PM Australia pertahan keputusan iktiraf Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota Israel

AUSTRALIA: Perdana Menteri Australia sudah mempertahankan keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota Israel, meskipun beliau menghadapi kritikan dari negara-negara jiran Islam.

Malaysia menentang keras keputuan Australia itu sebagai “terlalu awal” dan “memalukan rakyat Palestin”.

Kementerian Luar Malaysia mengulangi pendiriannya selama ini bahawa penyelesaian dua-negara, di mana negara Palestin dan Israel tinggal bersebelahan adalah jalan penyelesaian yang sesuai bagi konflik Palestin-Israel.

Indonesia, iaitu negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia,
menunjukkan kemarahan apabila Encik Morrison pertama kali menimbulkan kemungkinan untuk memindahkan kedutaan Australia pada Oktober.

Pucuk Pimpinam Palestin menganggap langkah Australia itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mencabuli undang-undang antarabangsa.

"Jelas Perdana Menteri Australia, sudah mengambil keputusan itu atas kepentingan peribadi yang sempit, atas pertimbangan politik dalam negeri dan bukannya pendirian yang sedia ada dan berprinsip Australia serta rakyat Australia pada keseluruhannya. Maka, saya menggesa beliau supaya menimbangkan semula keputusannya," menurut Pegawai Kanan Palestin, Hanan Ashrawi.

Australia antara sejumlah kecil negara yang membuat keputusan itu, selepas Amerika Syarikat berbuat demikian pada Mei lalu.

Keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Scott Morrison itu mengubah dasar Timur Tengah yang wujud sejak berdekad-dekad lamanya.

Namun Australia tidak akan memindahkan kedutaannya ke sana dengan segera.

Langkah Canberra itu dianggap menimbulkan risiko menyemarakkan lagi ketegangan antara Israel dengan Palestin.

Israel menganggap seluruh Baitulmakdis sebagai ibu kotanya termasuk bahagian timur yang didudukinya dalam tahun-tahun 60-an.

- AFP/MM/na

Top