Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pilihan Raya Kecil Port Dickson: 32 pusat mengundi dibuka

Proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bermula pada 8.00 pagi (13 Okt) di kesemua 32 pusat mengundi bagi membolehkan 68,317 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2018 08:56AM Dikemas Kini : 14 Oct 2018 12:17AM

PORT DICKSON: Proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bermula pada 8.00 pagi (13 Okt) di kesemua 32 pusat mengundi bagi membolehkan 68,317 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat mengundi yang merangkumi sekolah dan dewan orang ramai itu akan ditutup pada pukul 5.30 petang ini (13 Okt).

Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan 70 peratus penduduk keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10.00 malam.

Proses pengiraan undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) selepas proses mengundi tamat pada 5.30 petang.

Pertandingan tujuh penjuru dalam PRK Port Dickson menyaksikan pertembungan calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan lima calon Bebas iaitu mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Encik Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan mantan pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.

Encik Mohd Isa, sebagai satu-satunya calon tempatan layak mengundi dan dijangka berbuat demikian di Sekolah Kebangsaan Linggi.

Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai seramai 77,750 pengundi, termasuk pengundi awal dan merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina, 22 peratus pengundi India dan dua peratus daripada kaum lain.

Encik Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke sebuah pusat mengundi di Port Dickson. (Gambar: Sumisha Naidu)

Gambar Encik Anwar Ibrahim ketika melawat sebuah pusat mengundi di Port Dickson. (Gambar: Sumisha Naidu)

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Encik Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun, meletak jawatan pada 12 September lalu bagi membolehkan Encik Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Encik Danyal Balagopal, mantan pegawai kanan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia menang selesa dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson adalah yang pilihan raya kecil keempat selepas PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas pilihan raya umum yang diadakan pada 9 Mei lalu. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan