Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas, kata Sultan Ibrahim kepada exco Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan barisan kepimpinan Exco kerajaan negeri Johor yang dilantik hari ini supaya memikul amanah serta tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas, kata Sultan Ibrahim kepada exco Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Majlis Istiadat Pengisytiharan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor. (Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim)

Diterbitkan : 16 May 2018 05:33PM Dikemas Kini : 16 May 2018 05:38PM

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan barisan kepimpinan Exco kerajaan negeri Johor yang dilantik hari ini supaya memikul amanah serta tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata barisan Exco perlu sedar bahawa jawatan yang disandang bukan untuk mencari kemewahan atau memperkayakan ahli-ahli parti, sebaliknya perlu menjalankan perkhidmatan dengan penuh integriti, dedikasi, adil dan saksama.

Sultan Ibrahim turut berkata bahawa janji-janji yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu perlu ditunaikan di samping memastikan pentadbiran yang telus.

"Kerajaan negeri mestilah bertindak mengikut prosedur, peraturan dan undang-undang," kata beliau pada Majlis Istiadat Pengisytiharan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor di Dewan Singgahsana, Istana Besar pagi tadi.

Titah tersebut itu turut dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Menurut Sultan Johor, beliau juga akan meneliti setiap tindakan dan keputusan kerajaan negeri, di samping memberikan nasihat, teguran serta pandangan untuk memastikan kepentingan rakyat dan negeri dijaga.

"Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mengkhianati negeri dan rakyat saya atau cuba menghancurkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup Bangsa Johor," kata Sultan Ibrahim.

Beliau turut mengingatkan barisan Exco yang dipilih supaya memberikan komitmen dan kerjasama yang penuh kepada Menteri Besar Datuk Osman Sapian.

"Sekiranya ada ahli Exco yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya, saya harap Menteri Besar tahu bagaimana untuk menyelesaikannya," kata Sultan Ibrahim. 

Seramai 10 Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor hari ini mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim. Turut hadir adalah Datuk Osman.

Kesemua Exco yang mengangkat sumpah ialah Aminolhuda Hassan (anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S. Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Dr Sahruddin Jamal (Bukit Kepong), Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Sheikh Umar Ali (Paloh), Tan Hong Pin (Skudai) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan