Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesawat QZ8501 naik ke paras ketinggian terlalu laju

Pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa bulan lalu, didapati menaikkan paras ketinggian penerbangannya pada kelajuan lebih tinggi dari biasa, dan kemudian terhenti.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat QZ8501 naik ke paras ketinggian terlalu laju

Pegawai penyelamat Indonesia menarik bangkai pesawat AirAsia QZ8501 ke kapal penyelamat Crest Onyx, di lautan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Jan 2015 10:20PM Dikemas Kini : 20 Jan 2015 10:55PM

JAKARTA: Pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa bulan lalu, didapati menaikkan paras ketinggian penerbangannya pada kelajuan lebih tinggi dari biasa, dan kemudian terhenti.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan, mendedahkan demikian kepada para wartawan hari ini berdasarkan maklumat radar.

Sebelum QZ8501 hilang dari pengesanan radar, juruterbang pesawat meminta kebenaran agar paras ketinggian penerbangan dinaikkan untuk mengelak cuaca ribut. Namun permintaannya itu tidak dibenarkan kerana lintas udara yang sibuk ketika itu.

“Pada saat-saat akhir, pesawat itu menaikkan paras ketinggian penerbangannya pada kelajuan lebih tinggi dari biasa. Ia tiba-tiba naik pada kelajuan lebih tinggi daripada had biasa, di luar kemampuannya. Kemudian ia terhenti,” kata Encik Jonan.

Sebelum ini, di sesi parlimen, beliau berkata maklumat radar menunjukkan pesawat itu, pada suatu masa, kelihatan menaikkan paras ketinggian penerbangannya pada kadar 6,000 kaki (1,800 meter) dalam seminit sebelum terhempas. Terdapat beberapa lagi pesawat di kawasan tersebut ketika itu.

“Saya rasa ia sesuatu yang jarang berlaku bagi jet pejuang untuk menaikkan paras ketinggian penerbangan kepada 6,000 kaki dalam seminit. Bagi sebuah pesawat komersil, menaikkan paras ketinggian penerbangan kepada 1,000 atau 2,000 kaki dalam seminit mungkin sudahpun dianggap luar biasa, kerana ia tidak sepatutnya naik dengan begitu laju,” kata Encik Jonan.

Pasukan penyiasat Indonesia sebelum ini berkata mereka sedang menimbangkan sama ada kesilapan manusia atau masalah pada pesawat menyebabkan nahas udara itu. Mereka sudahpun menolak kemungkinan pengganasan sebagai punca nahas.

QZ8501 terhempas pada 28 Disember lalu dengan membawa 162 penumpang dan kru, semasa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan