Images
  • kim
    Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in. (Gambar: REUTERS)

Perjanjian di S'pura akan akhiri Perang Dingin, kata Presiden Korea Selatan

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini (12 Jun) memuji hasil sidang puncak antara Presiden Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sebagai "peristiwa bersejarah" yang menamatkan konflik Perang Dingin.

"Saya menawarkan ucap tahniah saya dan mengalu-alukan kejayaan sidang puncak bersejarah Korea Utara-Amerika Syarikat," kata Encik Moon dalam satu kenyataan.

"Perjanjian Jun 12 di Sentosa akan direkodkan sebagai satu peristiwa bersejarah yang membantu mengakhiri warisan Perang Dingin yang terakhir di Bumi," katanya.

Encik Moon membuat usaha besar dengan memainkan peranan perantara untuk menggalak musuh-musuh Perang Dingin supaya berkomunikasi.

Beliau memuji Presiden Trump dan Encik Kim kerana "keberanian dan tekad" mereka untuk tidak meneruskan "realiti basi dan biasa dilihat, tetapi mengambil langkah berani menuju perubahan".

Beliau memuji-muji Presiden Trump kerana berjaya mencatat "pencapaian yang tidak pernah diraih oleh orang lain", sambil menambah Encik Kim juga akan diingati sebagai "seorang pemimpin yang mencipta sejarah dengan mengambil langkah berani pertama untuk dunia".

"Berdasarkan perjanjian yang diraih hari ini, kami akan mengambil laluan baru ke hadapan."

"Dengan meninggalkan detik-detik hitam peperangan dan konflik, kami akan melakarkan satu lembaran perdamaian dan kerjasama yang baru. kami akan berada di samping Korea Utara sepanjang perjalanan," katanya.

Encik Moon, bagaimanapun, memberi amaran bahawa ini "hanya permulaan dan mungkin terdapat banyak kesulitan".

"Tetapi kita tidak akan pernah kembali ke masa lalu lagi dan tidak akan pernah berputus asa dalam perjalanan yang berani ini. Sejarah merupakan rekod untuk orang-orang yang berani bertindak dan bangkit untuk menghadapi cabaran," tambahnya.

- CNA/NA/na

Komen Anda?

Top