Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perjanjian di bawah Najib 'mencurigakan' tetapi hubungan dengan S'pura akan bertambah baik, tegas Anwar

Meskipun timbul ketegangan antara Singapura dengan Malaysia sekembalinya Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri negara itu, Presiden baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim berkata beliau percaya hubungan dua hala akan bertambah baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Perjanjian di bawah Najib 'mencurigakan' tetapi hubungan dengan S'pura akan bertambah baik, tegas Anwar

Ahli politik Malaysia, Anwar Ibrahim. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 14 Sep 2018 04:16PM Dikemas Kini : 14 Sep 2018 04:20PM

SINGAPURA: Meskipun timbul ketegangan antara Singapura dengan Malaysia sekembalinya Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri negara itu, Presiden baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim berkata beliau percaya hubungan dua hala akan bertambah baik.

Sejak Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada Mei, beliau sering membangkitkan isu-isu dua hala yang kritikal. Antaranya termasuk perjanjian air antara Singapura dengan Malaysia, di samping mengusulkan supaya projek Kereta Api Laju (HSR) KL-Singapura dibatalkan.

Singapura dan Malaysia kemudian sama-sama bersetuju untuk menangguhkan projek tersebut selama dua tahun.

Dalam wawancara yang diterbitkan pada Khamis (13 Sep), Encik Anwar, 71 tahun, berkata "agak munasabah" bagi Dr Mahathir untuk membangkitkan isu-isu itu, namun kedua-dua negara perlu berpandangan jauh.

"Saya rasa jika anda menyifatkan hubungan (di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri Najib Razak) sebagai sesuatu yang baik pada ketika itu, ia tidak semestinya positif, kerana sesetengah perjanjian mencurigakan.

"Sesetengah pendirian yang diambil Singapura, pandangan-pandangan politik, dianggap ramai khususnya pembangkang (pada masa itu) sebagai keterlaluan," kata Encik Anwar semasa diwawancara oleh zamil kanan Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam Yang Razali Kassim pada 31 Ogos.

"Namun, apa yang penting adalah untuk terus mencuba menghuraikan masalah dan melihat jauh kepada perkara lain selain dua isu ini. Natijahnya kita perlu bekerjasama."

Beliau berkata Malaysia memberi penekanan kepada "aspek budaya" dan bukan setakat manfaat perniagaan seperti Singapura. Hubungan kedua-dua negara juga tidak seharusnya tertumpu kepada "keuntungan, peraturan dan hukum", sesuatu yang Singapura lebih cenderung melakukan, tambah beliau.

"KEDUA-DUA NEGARA MEMERLUKAN SATU SAMA LAIN"

Tokoh politik veteran itu, bagaimanapun, menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa ia akan lebih baik bagi Singapura untuk kurang memberi penekanan kepada manfaat sebarang perjanjian: "Singapura sebagai sebuah negara dibangunkan dengan asas sedemikian. Saya tidak mempertikaikannya. Namun saya rasa itulah realitinya."

Beliau juga tidak merasakan perbezaan pada pendekatan "terlalu mengongkong" dari segi menjalin hubungan, sambil menarik perhatian bahawa para pemimpin Malaysia dan Singapura kerap mengadakan pertemuan.

Dalam wawancara tersebut, Encik Anwar turut mengatakan bahawa Malaysia ingin mengukuhkan lagi kerjasama dengan Singapura dalam bidang-bidang seperti hubungan pemerintah, masyarakat sivil, pelajar, pelaburan dan perdagangan, "meskipun wujud masalah sebelum ini".

"Semuanya perlu dilakukan untuk mengukuhkan lagi hubungan ini. Kedua-dua negara memerlukan satu sama lain," katanya.

Encik Anwar mengumumkan pada Rabu (12 Sep) bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi Port Dickson demi membuka laluan untuknya kembali ke parlimen.

Namun, Encik Anwar mengatakan beliau tidak akan memegang sebarang jawatan kerajaan jika menang dan sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada penyusunan parlimen.

Apabila ditanya bilakah beliau akan menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia kelapan semasa wawancara itu, Encik Anwar enggan mendedahkan sebarang garis waktu.

"Sesetengah pihak membuat spekulasi - enam bulan, satu tahun, satu tahun setengah, dua tahun atau lebih. Saya tidak rasa ia satu isu. Apa yang penting adalah keserasian saya dengan Dr Mahathir dan kami saling memahami," katanya.

Apabila ditanya sama ada ini akan menimbulkan kedudukan yang kurang jelas, Encik Anwar berkata: "Apa yang jelas ialah beliau bukan setakat seseorang yang menyandang jawatan itu semata-mata untuk mengisi jawatan tersebut. Saya tidak menginginkan perkara seperti itu. Sebaliknya saya mahu beliau menjadi seorang perdana menteri yang berkesan." 

Sumber : CNA/AQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan