Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perincian tuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa dengan 45 tuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta (S$37.8 juta) pada pagi Jumaat (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perincian tuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi

Gambar fail Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat SPRM. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Oct 2018 04:05PM Dikemas Kini : 19 Oct 2018 04:07PM

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa dengan 45 tuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta (S$37.8 juta) pada pagi Jumaat (19 Okt).

Lapan daripada 45 tuduhan yang dikenakan ke atas Dr Ahmad Zahid membabitkan suapan berjumlah RM21.25 juta (S$7.05 juta) semasa beliau menjadi menteri dalam negeri, menurut laporan Malaysiakini.

Tuduhan yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasauh Malaysia (SPRM) itu melibatkan tiga kes berasingan.

Kes pertama melibatkan bantuan kepada Mastoro Kenny It Consultant & Services mendapatkan projek MyEG.

Dalam kes berkenaan, Dr Ahmad Zahid menerima sejumlah 24 cek bernilai RM13.25 juta (S$4.40 juta) antara 15 Julai 2016 hingga 8 Feb 2017.

Dalam kes kedua pula, Dr Ahmad Zahid dituduh menerima dua cek bernilai RM6 juta (S$1.99 juta) daripada Chew Ben Ben, Datasonic Group Bhd pada 26 April 2017, lapor Malaysiakini.

Encik Chew kini adalah pengarah urusan Datasonic dan pemegang saham utama, dengan kepentingan 14.18 peratus dalam kumpulan itu.

Pada Disember 2015, Datasonic memperolehi kontrak kerajaan bernilai RM318.75 juta (S$106 juta) untuk membekalkan 12.5 juta cip pasport dari Disember 2016, sehingga akhir November 2021.

Pada bulan April, kumpulan itu berjaya mendapatkan kontrak RM270.71 juta (S$89.8 juta) daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia untuk membekalkan 9.96 juta laman biodata polikarbonat bagi kegunaan Jabatan Imigresen.

Bagi kes ketiga pula, mantan timbalan perdana menteri Malaysia itu dituduh menerima tiga cek bernilai RM2 juta (S$663,500) daripada pengarah Profound Radiance Sdn Bhd, Azlan Shah Jafril, antara 3 Ogos 2017 hingga 15 Mac 2018.

Menurut SPRM, Profound Radiance menjalankan pusat sehenti di Nepal dan Pakistan.

Pusat itu memproses permohonan visa bagi mereka yang mencari pekerjaan di Malaysia.

Profound Radiance adalah salah satu daripada tiga syarikat yang dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia bagi menguruskan pusat sehenti itu semasa Dr Ahmad Zahid menyandang jawatan sebagai menteri dalam negeri. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan