Images
  • kl 2
    (Gambar: AFP)

Pergerakan keluar masuk dipantau jelang perhimpunan di KL

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia akan memantau semua pergerakan masuk dan keluar dari ibu kota Kuala Lumpur mulai tengah malam nanti menjelang satu perhimpunan besar-besaran yang dirancang esok (8 Dis).

Parti-parti politik pembangkang PAS dan UMNO menjangkakan sekitar setengah juta penyokong akan menyertai perhimpunan itu bagi meraikan kejayaan menolak pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamed pada mulanya berikrar untuk mengesahkan perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Bagaimanapun, beliau berubah fikiran menyusuli kritikan bahawa langkah itu akan menjejas kedudukan istimewa orang Melayu di bawah perlembagaan Malaysia.

Ketua Polis Malaysia mengatakan bahawa bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam pada tahap tertinggi serta tiada sebarang insiden berlaku, pihaknya akan mengerahkan kekuatan anggota dan pegawai secukupnya.

Polis akan juga menutup enam jalan raya di ibu negara bersempena perhimpunan itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menangguhkan rapat yang dirancang esok (8 Dis) sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Ini selepas Polis Malaysia memaklumkan bahawa terdapat risiko serius terhadap keselamatan negara.

Dr Mahathir sepatutnya menghadiri acara itu.

- Agensi berita/MM/ai

Top