Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Pengundi tak mahu Tun M ubah Langkawi jadi Hawaii', tegas penganalisis

Kemajuan 'luar biasa' yang akan dibawa calon Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad seandainya menang, dilihat bakal menutup sumber rezeki penduduk asal di kawasan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Pengundi tak mahu Tun M ubah Langkawi jadi Hawaii', tegas penganalisis

Dr Mahathir Mohamad di Langkawi. (Gambar: Dr. Mahathir bin Mohamad/Facebook)

Diterbitkan : 16 Apr 2018 02:48PM Dikemas Kini : 16 Apr 2018 02:52PM

KUALA LUMPUR: Kemajuan 'luar biasa' yang akan dibawa calon Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad seandainya menang, dilihat bakal menutup sumber rezeki penduduk asal di kawasan berkenaan.

Penganalisis politik, Datuk M.Periasamy menegaskan bahawa dapatan itu diperolehinya selepas tinjauan dibuat yang turut mendapati pengundi Langkawi tidak mahu calon yang terlalu berumur di sana, demikian dilaporkan Astro AWANI.

"Ada sentimen daripada pengundi di sana sendiri yang mengatakan Dr Mahathir terlalu tua untuk menjadi Ahli Parlimen di Langkawi.

"Mereka turut berpandangan, seandainya Dr Mahathir menang, pembangunan yang akan dibawanya kelak bakal menjadikan Langkawi seperti Hawaii.

"Ia akan menyebabkan imej kampung Melayu di sana hilang dan digantikan pusat pelancongan yang mengubah persepsi serta melenyapkan banyak pekerjaan penduduk asal seperti nelayan," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Semalam (15 Apr), tanda soal tentang di mana Pengerusi PH itu 'bertempur' pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akhirnya terjawab.

Dalam satu majlis, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa Dr Mahathir akan menjadi calon mewakili blok pembangkang bagi kerusi Parlimen (P004) Langkawi.

Dalam pada itu jelas Datuk Periasamy, penduduk Langkawi yang ditemuinya juga yakin Dr Mahathir akan banyak menggunakan isu kemajuan selain menjanjikan pembangunan luar biasa Parlimen itu sepanjang kempennya pada PRU kali ini.

Datuk Periasamy turut memberitahu bahawa Dr Mahathir sendiri seharusnya mengetahui perubahan dan perbezaan landskap politik kini berbanding 19 tahun selepas mantan perdana menteri itu melepaskan jawatannya di dalam kerajaan.

"Zaman berubah, pemikiran juga lain. Dr Mahathir tidak boleh fikir situasi politik dahulu sama dengan sekarang atau masa depan.

"Kita sekarang bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan ia pasti berbeza dengan zamannya dahulu," katanya.

Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, mahu tidak mahu, rakyat perlu bersedia kerana IR4.0 akan membawa kepada kejayaan wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri Malaysia itu juga sebelum ini berkongsi bahawa peruntukan sebanyak RM1.3 bilion (S$0.4 bilion) yang diumumkannya untuk pembangunan infrastruktur Langkawi dua bulan lalu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pulau itu.

"Dana itu merangkumi RM500 juta (S$169 juta) bagi menaik taraf Hospital Langkawi dan RM600 juta (S$600 juta) untuk projek mengatasi masalah air di Padang Mat Sirat," kata PM Najib.

Astro AWANI melaporkan bahawa Ahad lalu, Dr Mahathir turut mengumumkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada PRU14.
Kerusi Langkawi disandang Datuk Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU lima tahun lalu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan