Images
  • HFMD
    Gambar hiasan. (Gambar: NUS)

Penguasa kesihatan M'sia bagi amaran, kes HFMD meningkat

KUALA LUMPUR: Semua negeri di Malaysia melaporkan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut, menurut Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Chong Chee Keong pada Selasa (10 Jul).

Tanpa memberi perincian lanjut, pengumuman Dr Chong menyusuli pendedahan Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad pada Isnin bahawa bilangan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD di Pulau Pinang mencecah 1,616 pada awal tahun ini, iaitu peningkatan 48 peratus berbanding tahun lalu.

Alat permainan kanak-kanak dikenalpasti sebagai antara punca penyebaran HFMD, Dr Chong memberi amaran.

Beliau berkata virus penyakit itu mudah berjangkit daripada seorang kanak-kanak kepada kanak-kanak yang lain menerusi alat dan barang permainan.

“Para ibu dan pengendali tadika perlu membersihkan alat permainan, tandas dan kain lampin yang digunakan oleh bayi atau anak-anak bagi mengelak penyakit itu daripada merebak," kata beliau.

"Sudah tentu mereka perlu menjaga kebersihan di dalam rumah juga. Kanak-kanak akan bermain bersama-sama dan virus boleh berjangkit sesama mereka. Oleh itu, kami menasihati para ibu untuk mengasingkan anak-anak mereka.

"Saya tahu memang sukar hendak mengasingkan kanak-kanak kerana memang sifat mereka suka bermain bersama-sama," katanya kepada para wartawan di satu acara di Kuala Lumpur hari ini.

Sepuluh pusat jagaan kanak-kanak di Pulau Pinang sudah diarah tutup selama 10 hari sebagai sebahagian usaha negeri itu untuk mengekang penularan penyakit tersebut.

Penyakit tangan, kaki dan mulut adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada virus yang mudah berjangkit terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan boleh merebak menerusi air liur, cecair luka dan najis.

Tanda-tanda jangkitan termasuk demam, ruam dan bintik-bintik di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah, selain jangkitan pada saluran pernafasan atas dan sesak nafas.

- BERNAMA/TQ/tq

Top