Images
  • bernama kasut
    (Gambar: BERNAMA)

Penggunaan kasut sekolah warna hitam berkuatkuasa di M'sia sepenuhnya 2021

PUTRAJAYA: Pemakaian kasut sekolah berwarna hitam di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan Malaysia hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 2021, kata Kementerian Pendidikan negara itu (KPM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KPM hari ini (13 Okt), peraturan itu bagaimanapun akan dilaksanakan secara bertahap-tahap, bermula penggal persekolahan 2019 sebelum penggunaannya diperluaskan pada 2020.

"Dalam tempoh peralihan tersebut, murid-murid masih dibenarkan untuk memakai kasut berwarna putih," menurut KPM.

Kementerian itu menyatakan bahawa dalam tempoh tersebut, pihak sekolah diminta tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid memakai kasut berwarna hitam.

Ibu bapa juga dinasihati supaya tidak tergesa-gesa menyediakan kasut berwarna hitam untuk anak-anak mereka, memandangkan para murid masih mempunyai pilihan untuk memakai kasut putih sehingga 2020.

Menurut KPM, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pihak pembekal kasut sekolah.

Pada Julai lalu, Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik dilaporkan sebagai berkata bahawa lebih lima juta pelajar sekolah di seluruh negara itu akan memakai kasut hitam bermula tahun depan, selepas mengambil kira keluhan para ibu bapa mengenai tahap kebersihan kasut putih yang dipakai anak mereka.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan kebimbangan beberapa pihak termasuk Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) mengenai kemungkinan peruncit dan pengeluar di negara itu tidak mampu menampung permintaan terhadap kasut hitam.

Dr Maszlee kemudian berkata kerajaan bersetuju memberi kelonggaran selama setahun kepada semua pihak bagi pelaksanaan peraturan tersebut.

Menurut beliau, tempoh itu adalah bagi menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baru tersebut termasuk ibu bapa yang mungkin terbeban jika pelaksanaannya dilakukan secara drastik. 

- BERNAMA/AI/ai

Top