Images
  • Lombok aftermath
    (Gambar: Adek Berry/ AFP)

Penduduk Lombok tekad teruskan kehidupan seperti biasa

TANJUNG: Seminggu sudah berlalu sejak Lombok digoncangkan oleh gempa bumi yang meragut lebih 300 nyawa sementara 270,000 orang kehilangan tempat tinggal. Namun, itu semua tidak mematahkan semangat penduduk tempatan untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

Malah, para penduduk kampung sudah mula merancang membangunkan tempat-tempat sementara sebagai ganti masjid-masjid yang roboh.

Di Tanjung pula, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas di utara pulau itu, sebuah pasar makanan dibuka semula hari ini (11 Ogos) di mana para penduduk tempatan kelihatan membeli sayur-sayuran dan ikan. Beberapa kedai juga dibuka dan mula beroperasi meskipun bangunan rosak.

"Saya terpaksa meminjam wang daripada seseorang untuk membeli bunga seri pagi untuk dijual semula di sini," kata Encik Natbudi, salah seorang penjual di pasar berkenaan. "Jika saya hanya duduk di kem dan tidak datang ke sini untuk berniaga, saya tidak akan mempunyai wang untuk membeli beras."

Bagi Encik Sunarto pula, beliau berasa lega kerana akhirnya berupaya menjalankan kegiatan seharian yang dilakukan sebelum gempa bumi melanda pulau itu. Beliau membeli beberapa ekor ikan di pasar tersebut.

"Saya berasa gembira dan bersyukur kerana akhirnya pasar ini dibuka semula," katanya. "Kami boleh membeli barang keperluan kami sementara menunggu semuanya kembali seperti biasa. Tetapi kami tetap bimbang."

Lombok yang dilanda tiga gempa kuat dalam masa kurang seminggu juga mengalami lebih 500 gegaran susulan.

Gempa pada 29 Julai mengorbankan 16 nyawa. Satu lagi gempa berukuran 5.9 pada skala Richter pada Khamis (9 Ogos) mencetuskan rasa cemas dan lebih banyak kerosakan serta menyebabkan lebih 20 orang cedera.

Menurut para saintis NASA, sejurus selepas gempa bumi tersebut, paras tanah di kawasan barat laut pulau tersebut berdekatan pusat gempa, naik sebanyak 25 sentimeter. Paras tanah di kawasan lain pula turun antara lima hingga 15 sentimeter.

Indonesia sering dilanda gempa bumi kerana terletak dalam "Lingkaran Api" di lembangan Pasifik. Pada 2004, gempa bumi sekuat 9.1 skala Richter dekat Sumatra mengakibatkan gelombang tsunami yang meragut 230,000 nyawa di beberapa negara.  

- AP/AQ/aq

Top