Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendakwah radikal Indonesia berdepan hukuman mati atas serangan 2016

Mahkamah Indonesia dijangka menentukan hari ini (22 Jun) sama ada seorang pendakwah radikal yang terlibat dalam satu serangan pengganas pada 2016, dijatuhi hukuman mati.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2018 11:46AM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 08:45PM

JAKARTA: Mahkamah Indonesia dijangka menentukan hari ini (22 Jun) sama ada seorang pendakwah radikal yang terlibat dalam satu serangan pengganas pada 2016, dijatuhi hukuman mati.

Kumpulan ISIS di Asia Tenggara pada awalnya mendakwa mendalangi serangan tersebut.

Aman Abdurrahman disyaki mendalangi serangan nekad di Jakarta yang meragut nyawa empat orang awam dan empat penyerangnya.

Serangan di ibu kota itu menyaksikan babak-babak penuh dramatik di mana seorang pengebom nekad melancarkan serangan di Starbucks sementara pasukan keselamatan bertempur dengan para militan yang bersenjata.

Bulan lalu, para pendakwa menuntut agar Abdurrahman dihukum mati atas serangan itu.

Abdurrahman - yang dianggap sebagai ketua de facto para penyokong ISIS di Indonesia - juga pemimpin rangkaian kumpulan pelampau tempatan Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

Menurut pihak berkuasa, JAD dalang sebenar serangan pada 2016 dan siri pengeboman nekad di bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya, bulan lalu.

Dua keluarga - termasuk dua budak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun - melancarkan serangan nekad di gereja-gereja dan sebuah stesen polis. 13 maut dalam siri serangan itu.

Kesemua serangan itu ada kaitan dengan JAD, dengan bapa kepada pengebom nekad di gereja dikenal pasti sebagai ketua tempatan kumpulan itu.

Pihak berkuasa belum lagi mendakwa Abdurrahman atas serangan di Surabaya. Dia kini dipenjara atas kesalahan pengganas berasingan.

Meski dipenjara sejak 2010, Abdurrahman merekrut para anggota untuk menyertai ISIS. Dia dipercayai berhubungan dengan para pemimpin kumpulan militan, dan menjadi penterjemah bagi menyebarkan ajaran ISIS di Indonesia, menurut para penganalisis dan pihak berkuasa.

Indonesia, yang mempunyai penduduk beragama Islam terbesar dunia, sudah lama bergelut dengan masalah sedemikian, termasuk serangan bom Bali pada tahun 2002 yang meragut 202 nyawa - sebilangan besar pelancong asing - iaitu serangan paling teruk di negara itu. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan