Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendakwa Raya Indonesia gesa Ahok dijel 1 tahun; "tidak cukup" kata kumpulan tegar

Pihak pendakwa raya Indonesia hari ini (20 Apr) menggesa supaya Basuki Tjahaja Purnama, dipenjara selama setahun atas tuduhan penistaan agama.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Apr 2017 03:04PM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 11:06PM

JAKARTA: Pihak pendakwa raya Indonesia hari ini (20 Apr) menggesa supaya gabenor Jakarta yang beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama, dipenjara selama setahun atas tuduhan penistaan agama, dalam satu perbicaraan yang dilihat sebagai ujian terhadap toleransi agama di negara yang mejoriti penduduknya beragama Islam.

Encik Purnama, 50 tahun, tewas di tangan pesaingannya Encik Anies Baswedan, dalam percubaannya mengekalkan jawatan sebagai gabenor dalam pilihan raya minggu ini, menurut kiraan tidak rasmi.

Kempen yang dibelenggu dengan kontroversi agama itu turut menyaksikan tunjuk perasaan besar-besaran diadakan sebagai menentang Encik Purnama kerana didakwa menghina Islam.

"Kami menggesa supaya hakim menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas defendan kerana menyuarakan kebencian atau menghina sebahagian rakyat Indonesia," kata Ketua Pendakwa Raya Ali Mukartono.

"Kami juga menggesa supaya dia diletakkan di bawah tempoh probesen selama dua tahun," kata beliau. Ini bermakna, sekiranya Encik Purnama mengulangi kesalahannya dalam tempoh dua tahun, dia akan dipenjarakan.

Perbicaraan itu berpusat kepada komen-komen yang dibuat oleh Encik Purnama pada tahun lalu, tentang para pesaingnya yang menggunakan ayat al-Quran dalam kempen politik.

Banyak kumpulan Muslim, khususnya kumpulan tegar, berasa tersinggung dengan komen-komen tersebut dan menggesa supaya Encik Purnama dipecat dan dipenjarakan.

Hari ini, anggota kumpulan tegar, yang memimpin ratusan ribu masyarakat Islam dalam tunjuk perasaan terhadap Encik Purnama semasa kempen pilihan raya, menunjukkan rasa tidak puas hati dengan gesaan pihak pendakwa raya.

Ratusan anggota kumpulan tegar Fron Pembela Islam (FPI) berhimpun di luar mahkamah dan melaung-laungkan "tidak cukup" setelah pihak pendakwa raya mengemukakan permohonan mereka.

Encik Purnama, pemimpin pertama Jakarta yang berbangsa Cina dan beragama Kristian, bagaimanapun menafikan tuduhan penistaan agama itu dan keputusannya dijadual dibuat dalam masa beberapa minggu mendatang.

Para aktivis hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan tentang undang-undang penistaan agama yang digunakan untuk menyerang kumpulan minoriti Indonesia, meskipun kepelbagaian agama sudah sebati dengan perlembagaan negara itu.

Sekarang, Encik Purnama hanya mempunyai baki enam bulan menyandang jawatan sebagai gabenor Jakarta sebelum penggantinya dijangka mengangkat sumpah sebagai gabenor baru.

Sumber : Reuters/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan