Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penculikan dijangka berlaku di Sabah sedang militan cari dana untuk kegiatan pengganas

Kebimbangan tercetus di Sabah selepas satu insiden penculikan berlaku di luar perairan bandar pesisir, Semporna minggu lalu (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Penculikan dijangka berlaku di Sabah sedang militan cari dana untuk kegiatan pengganas

Lahad Datu - salah satu kawasan di mana para militan lalui. (Gambar: Muhammad Fadhil)

Diterbitkan : 22 Sep 2018 03:09PM Dikemas Kini : 22 Sep 2018 03:12PM

SANDAKAN: Kebimbangan tercetus di Sabah selepas satu insiden penculikan berlaku di luar perairan bandar pesisir, Semporna minggu lalu (11 Sep).

Sekumpulan lelaki bertopeng dengan senapang M16, dipercayai ada kaitan dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang berpangkalan di pulau Mindanao, selatan Filipina, menculik dua lelaki Indonesia daripada sebuah kapal pukat tunda.

Ia merupakan insiden pertama seumpama itu di Sabah dalam hampir dua tahun.

Menyusuli penculikan itu, kebimbangan tercetus mereka akan bertindak sekali lagi dengan tujuan mengumpul dana bagi membiayai kegiatan-kegiatan pengganas di selatan Filipina.

Amaran itu dikeluarkan sendiri seorang pegawai perisikan dan seorang bekas anggota militan.

Gesaan ISIS supaya ASG mengangkat senjata di Mindanao dan operasi tentera Filipina terhadap para militan mendorong ASG untuk mendapatkan dana melalui penculikan. Dalam pada itu, kemiskinan di selatan Filipina memudahkan kumpulan itu untuk merekrut anggota militan baru serta kumpulan samseng yang ditugaskan untuk menjalankan penculikan.

"Insiden (penculikan) sesuatu yang sukar untuk dihentikan, Namun, (situasi) kini berjaya dikawal," kata Ketua Cawangan Khas Antipengganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Penculikan masih berlaku kerana kumpulan-kumpulan ini (ASG) menghadapi tekanan untuk mengumpul dana bagi meneruskan kegiatan pengganasan mereka sedang pihak berkuasa Filipina menjalankan operasi terhadap para militan," tambah Encik Ayob.

Menurut Ketua Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Hazani Ghazali, apa yang berlaku di Filipina mempunyai kesan besar ke atas Sabah.

"Apapun yang berlaku di Filipina akan mempunyai kesan ke atas Sabah. Sabah sempadan penting bagi seluruh Malaysia dan laut Sulu," kata Encik Hazani.

ABU SAYYAF CARI DANA BAGI KEGIATAN PENGGANAS: BEKAS ANGGOTA MILITAN

"ASG dan kumpulan-kumpulan penyokong ISIS memerlukan wang untuk keperluan seharian mereka, bergerak dari satu tempat ke tempat lain, memperolehi peralatan komunikasi dan senjata," kata Abdullah Sandakan, seorang bekas anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf.

ASG berikrar untuk taat setia kepada ISIS pada 2014.

"Penculikan baru-baru ini... untuk mengumpul dana bagi menjalankan pengganassan secara kecil-kecilan... sama seperti yang berlaku di Marawi," kata Encik Abdullah.

Para militan pro-ISIS, termasuk pecahan ASG, menakluki Marawi pada Mei 2017 dan mengepung bandar itu selama lima bulan. Lebih 1,000 maut dalam pertempuran itu.

Sebelum kekacauan di Marawi, jumlah penculikan di Sabah dan kawasan di sekitar Laut Sulu melonjak kepada 10 insiden pada 2016 berbanding satu insiden pada 2015.

Menurut Encik Abdullah, penculikan pada 2016 bertujuan mengumpul dana untuk memulakan pertempuran di Marawi.

"Anda dapat lihat berapa banyak penculikan berlaku sebelum insiden di Marawi? Ia untuk kumpul dana bagi Marawi. Penculikan cara paling mudah untuk anda mendapatkan wang," kata Encik Abdullah.

Ketua Esscom Hazani Ghazali akur akan hal itu.

"Ya, penculikan (pada 2016) untuk Marawi," kata Encik Hazani kepada Mediacorp.

Kes penculikan terkini merupakan yang pertama dalam tempoh hampir dua tahun, iaitu sejak satu pasukan pengawal pantai ditubuhkan pada 2017 oleh Malaysia, Indonesia dan Filipina di Laut Sulu bagi mengurangkan insiden melanun dan penculikan.

SABAH LALUAN MASUK KE SELATAN FILIPINA BAGI PARA MILITAN

Sedang ISIS kehilangan kuasa di wilayah-wilayah di Syria dan Iraq, ia menggesa para pengikutnya untuk ke pulau Mindanao untuk bertempur bagi "berjihad" dengan cara baru.

Mentelah lagi, Turki dan negara-negara lain sudah memperketat kawalan keselamatan di sempadan masing-masing.

"Ini yang mengubah haluan para militan yang juga pro-ISIS untuk menuju ke selatan Filipina," kata Encik Ayob.

Sejak 2013, 41 militan ditangkap kerana cuba memasuki Mandanao melalui Sabah. 27 daripadanya merupakan warga asing yang kebanyakannya rakyat Indonesia.

Sabah satu tempat persinggahan penting bagi rakyat Malaysia dan pejuang asing yang ingin melakukan pertempuran di Mindanao memandangkan ia sangat dekat dengan selatan Filipina.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan