Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penahanan Ahmad Zahid digesa tidak dijadikan modal persepsi salah, tidak berasas

Penahanan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya dispekulasikan dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi yang salah dan tidak berasas.

Anggaran Waktu Membaca:
Penahanan Ahmad Zahid digesa tidak dijadikan modal persepsi salah, tidak berasas

Bendera UMNO. (Gambar fail: Tengku Bahar/ AFP)

Diterbitkan : 18 Oct 2018 01:07PM Dikemas Kini : 18 Oct 2018 01:09PM

SEREMBAN: Penahanan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya dispekulasikan dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi yang salah dan tidak berasas.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan berkata apa yang lebih penting adalah anggota UMNO dan semua pihak mesti bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam menghadapi keadaan ini.

“Menyusuli beberapa siri siasatan, wujud spekulasi bahawa beliau akan didakwa tidak lama lagi. Sejauh manakah kebenaran dan kesahihan spekulasi tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dipastikan pada saat ini.

“Saya dan kepimpinan UMNO percaya perkara ini mesti dilihat secara terbuka dan objektif.

“Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita. Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya.

Encik Mohamad selanjutnya berkata, Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.

“Ini khususnya bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya. Apa jua keputusan Majlis Kerja Tertinggi akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua anggota parti,” katanya.

Jelasnya lagi, apa yang pasti, beliau dan kepimpinan UMNO memberi jaminan bahawa penahanan ini tidak akan melemahkan atau menjadi halangan kepada UMNO untuk meneruskan agenda pemulihan yang sedang dilakukan dalam parti.

“Khidmat bakti UMNO kepada rakyat Malaysia juga tidak akan berhenti dan terganggu. Saya dan rakan-rakan dalam UMNO ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang.

“InsyaAllah, saya pasti akan hadir petunjuk dan kebenaran yang selayaknya daripada Allah SWT dalam segala hal yang berlaku ini jika kita bersabar dan bijaksana dalam segala tindakan kita,” katanya.

Dr Ahmad Zahid pada Jumaat lalu (12 Okt), memberi keterangan kepada SPRM terhadap dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan