Images
  • icerd rally
    Perhimpunan anti-ICERD di Kuala LUmpur pada 8 Disember (Gambar-gambar: Amir Yusof/Mediacorp)

Pemimpin UMNO, PAS ikrar bersatu di perhimpunan anti-ICERD

KUALA LUMPUR: Para pemimpin parti-parti pembangkang utama Malaysia, UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menunjukkan sokongan dan berkirar untuk bersatu bagi isu-isu berhubung agama Islam dan bangsa Melayu.

Dalam ucapan masing-masing semasa rapat anti-Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu (8 Dis), presiden UMNO Zahid Hamidi dan presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata perhimpunan begitu ramai penyokong kedua-dua parti adalah satu positif bagi Malaysia.

Encik Zahid berkata: "Perhimpunan kita di sini adalah simbolik. Kerajaan Pakatan Harapan sekarang jangan main-main dengan orang yang ramai di sini. Jika mereka cuba kita akan bersatu dan berhimpun sekali lagi seperti kita lakukan hari ini."


"Kolaborasi antara UMNO dan PAS adalah jelas berhubung isu menentang Islam dan Melayu ... Ini bukan kerjasama politik, tetapi kerjasama untuk rakyat. Saya harap penyokong kedua-dua parti akan bersatu bermula dari sekarang," kata mantan timbalan perdana menteri itu.

Encik Hadi memuji usaha kedua-dua parti serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun di Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan itu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen bagi kerusi Marang di Terengganu, juga bercakap tentang bagaimana Anggota Parlimen dari PAS dan UMNO bekerjasama memberi tekanan terhadap kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak mengesahkan ICERD.

PUSINGAN U MENGENAI ICERD

ICERD adalah satu konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang diskriminasi dan menyeru negara-negara supaya berusaha membasmi segala bentuk diskriminasi kaum.

Pada awal September, Dr Mahathir memberitahu PBB bahawa Malaysia akan mengesahkan semua konvensyen hak asasi manusia yang belum dimeterainya, termasuk ICERD.

Namun, kerajaan Pakatan Harapan kemudian menarik balik keputusannya pada November dan memilih untuk tidak mengesahkan ICERD.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengesahkan ICERD. Bahkan, beberapa AP Pakatan juga menolak ratifikasi tersebut.

Usulan mengesahkan ICERD juga dikritik dan dibantah wakil kerajaan, pembangkang dan NGO.

Ramai yang bimbang pelaksanaannya akan menghakis hak istimewa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti negara itu.

PESERTA PERHIMPUNAN BANJIRI JALAN RAJA

Peserta perhimpunan anti-ICERD membanjiri kawasan Jalan Raja sepanjang satu kilometer antara masjid Jamek dan Masjid Negara.


Polis Malaysia menyatakan seramai 55,000 hadir namun para penganjur rapat menyangkalnya.

Pengarah perhimpunan Kamaruzaman Mohamad memberitahu orang ramai pada 2.00 petang bahawa para penganjur menganggarkan sekitar 300,000 orang yang hadir.

Dalam ucapannya, presiden UMNO Encik Zahid juga membayangkan ada 500,000 orang di rapat tersebut.

Perhimpunan dijadual tamat pada 6.00 petang namun secara rasmi berakhir pada 5.00 petang akibat cuaca hujan.

Rapat itu rata-rata berjalan secara aman, dengan Encik Kamaruzaman berkali-kali mengingatkan para hadirin agar tidak merosakkan harta benda awam dan mematuhi arahan polis.

Para peserta patuh dan tiada pergaduhan berlaku sepanjang perhimpunan. Ramai dilihat mengutip sampah selepas orang ramai bersurai.

Mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor turut hadir di perhimpunan tersebut. Bagaimanapun, mereka sekadar duduk bersama para pemimpin UMNO dan PAS di depan pentas dan tidak memberi ucapan.   

- CNA/TQ/tq

Top