Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin M'sia digesa elak keluar kenyataan yang beri kesan negatif

Barisan menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh memberi kesan negatif kepada negara, kerajaan dan rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin M'sia digesa elak keluar kenyataan yang beri kesan negatif

Menteri-menteri Malaysia semasa menghadiri mesyuarat pertama kabinet selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU14. (Gambar: Azmin Ali/ Facebook)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 07:47AM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 07:51AM

KUALA LUMPUR: Barisan menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh memberi kesan negatif kepada negara, kerajaan dan rakyat.

Demikian kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A.Kadir Jasin.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Encik Kadir berkata mereka perlu memikir sedalam-dalamnya kesan kenyataan mereka dan hanya mengeluarkan kenyataan apabila perlu sahaja.

"Hari ini kerajaan baru, hanya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sahaja yang ada pengalaman menjadi menteri manakala yang lain mungkin ada pengalaman sebagai ketua menteri atau menteri besar sahaja, tetapi tidak sebagai menteri persekutuan.

“Jadi kalau ada menteri yang dilihat tidak pandai memberi kenyataan atau dilihat tidak memikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat kenyataan, kena marah dan sebagainya, mereka kena belajar daripada kesilapan, apa yang dilalui akan mendewasakan mereka,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya ada kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri dan timbalan menteri yang dilihat boleh menjejas pelaburan asing ke dalam Malaysia.

MEDIA PERLU ADIL, 100 HARI BUKAN TEMPOH PANJANG

Encik Kadir berkata sebagai seorang wartawan yang berpengalaman beliau menasihati menteri dan timbalan menteri untuk menyusun kenyataan mereka dengan baik dan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang kurang pasti.

Dalam pada itu beliau berkata media perlu memainkan peranan mereka secara adil apabila melaporkan berita mengenai 10 janji Pakatan Harapan yang sepatutnya ditunaikan dalam tempoh 100 hari agar rakyat dapat memahami keadaan sebenar.

Menurutnya, Pakatan Harapan membuat janji-janji itu sewaktu menjadi pembangkang dan ketika itu mereka tidak mempunyai butir terperinci mengenai perkara-perkara yang hendak dilaksanakan.

"Bukan mereka sengaja berjanji dan kemudian tidak melaksanakan tetapi mereka membuat janji itu berasaskan fakta-fakta yang ada ketika itu tetapi apabila mereka menang pilihan raya dan menjadi kerajaan, mereka mendapati bahawa unjuran-unjuran yang mereka buat itu tidak tepat dan ada janji yang tidak boleh dilaksanakan serta-merta," katanya.

Beliau menambah, 100 hari bukanlah suatu tempoh masa yang panjang untuk kerajaan melaksanakan segala-galanya, namun ada antara janji itu sudahpun dilaksanakan.

Dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan membuat 10 janji untuk dilaksanakan dalam 100 hari antaranya untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah mengurangkan kos sara hidup. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan