Images
  • gavel court
    Gambar hiasan. 

Pemandu Grab M'sia didakwa tipu teknisyen mesin ATM lebih RM300,000

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Grab rakyat Malaysia hari ini (14 Sep) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu dua juruteknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk menyerahkan empat peti yang mengandungi wang tunai berjumlah lebih RM300,000 (S$99,360).

Mohd Sofi Abdul Rahman @ Yusoff, 29 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.

Tertuduh, bersama-sama dua individu yang turut dituduh di mahkamah, didakwa menipu Muhammad Syafiruddeen Huzmi@Hazmi dan Muhammad Kamil Azhar Nordin, kedua-duanya berumur 23 tahun, dengan cara menggunakan keyakinan dan percakapan sehingga mangsa menyerahkan empat peti yang berisi wang tunai berjumlah RM337,550 (S$111,800).

Bapa anak empat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di CIMB Bank Kuchai Lama antara pukul 9.00 malam dan 11.00 malam pada 8 Jun 2018.

Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun, dia boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum selama 10 tahun serta dirotan dan didenda jika sabit kesalahan.

Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim menawarkan ikat jamin RM100,000 (S$33,120) dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mohd Sofi yang diwakili peguam Jason Wee memohon jaminan RM10,000 (S$3,310) atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga serta mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 (S$4,970) dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan bahawa dia perlu melaporkan diri dua bulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 7 Oktober untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA/AI/ai

Top