Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pekerja stesen minyak lebam di muka akibat dipukul

Seorang pekerja stesen pam minyak di Sungkai yang dipukul oleh sekumpulan lelaki akibat salah faham ketika mengisi minyak, sehingga video kejadian itu tular di media sosial, hanya mengalami lebam pada bahagian muka.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja stesen minyak lebam di muka akibat dipukul

Petikan skrin rakaman CCTV yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam kes memukul seorang pekerja stesen minyak.

Diterbitkan : 16 Oct 2018 11:08AM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 11:13AM

IPOH: Seorang pekerja stesen pam minyak di Sungkai yang dipukul oleh sekumpulan lelaki akibat salah faham ketika mengisi minyak, sehingga video kejadian itu tular di media sosial, hanya mengalami lebam pada bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kejadian tersebut berlaku pada 6 Oktober lalu pada sekitar pukul 12.45 tengah hari.

Menurut Encik Wan Azharuddin, mangsa yang berusia 23 tahun itu sedang bekerja di kaunter stesen minyak berkenaan sebelum dihampiri sekumpulan penunggang motosikal yang mahu mengisi minyak.

“Salah seorang daripada lelaki tersebut memesan untuk mengisi minyak tetapi tidak memaklumkan kepada mangsa yang bertugas di kaunter untuk mengisi minyak jenis RON 97.

“Mangsa kemudiannya memberikan minyak RON 95, menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati sebelum sekumpulan kawan lelaki tersebut kembali semula ke kaunter dan menarik mangsa keluar, biarpun mangsa telah meminta maaf,” kata beliau hari ini (16 Okt).

Encik Wan Azharuddin berkata seorang daripada kumpulan lelaki tersebut memukul dan membaling air tin kepada mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kesan lebam di bahagian muka.

Beliau menambah bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu tidak dapat mengenal pasti suspek yang terlibat dan nombor pendaftaran motosikal juga tidak jelas.

Encik Wan Azharuddin berkata pihaknya difahamkan bahawa ketika kejadian itu berlaku, mangsa juga turut mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan sehingga menyebabkan salah faham.

“Jadi saya mahu orang ramai tidak menularkan kes ini lagi di media sosial kerana ia hanyalah salah faham kecil dan telah berlaku beberapa hari yang lalu,” katanya.

Encik Wan Azharuddin berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Video selama 42 saat itu tular di laman sosial Facebook sejak semalam (15 Okt), menunjukkan seorang pekerja stesen minyak ditarik keluar sebelum dipukul oleh sekumpulan penunggang motosikal.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan