Images
  • boy thai cave
    Kanak-kanak kini dirawat di hospital tempatan. (Gambar: PRD/ AFP)

Pasukan bola sepak Thailand cadang ke gua hanya sejam

BANGKOK: Kumpulan 12 remaja dan juru latih bola sepak mereka yang baru diselamatkan dari gua di Thailand sebenarnya bercadang untuk meneroka gua tersebut selama sejam. Namun paras air banjir yang meningkat akhirnya menyebabkan mereka terperangkap selama lebih dua minggu, menurut bapa salah seorang remaja itu.

Kesemua 12 remaja dan jurulatih mereka yang berusia 25 tahun, berjaya diselamatkan selepas operasi tiga hari yang berakhir pada Selasa. Operasi itu diterajui anggota tentera laut SEAL Thailand dan sepasukan pakar penyelam.

Pada 23 Jun pasukan itu memasuki gua Tham Luang di Chiang Rai selepas latihan bola sepak, namun hujan lebat mula membanjiri terowong.

"Dia memberitahu saya sejurus selepas latihan, mereka pergi bermain di gua. Mereka fikir akan berada di sana hanya sejam," Banpot Korncam, bapa kepada kapten pasukan "Wild Boars" itu memberitahu pihak media.

"Semasa mereka di dalam gua, air hujan melimpah masuk dan semua orang bertempiaran," kata Banpot.

Dua penyelam warga Britain menjumpai kumpulan itu pada 2 Julai beberapa kilometer di dalam gua, sembilan hari selepas mereka memasuki gua tersebut.

Remaja-remaja yang berusia antara 11 hingga 16 tahun itu perlu menyelam bagi sebahagian perjalanan keluar sebelum dipindahkan menggunakan alat pengusung menerusi terowong-terowong curam.

Ramai warga Thailand menganggap jurulatih Ekkapol Chantawong, atau singkatannya Ek, sebagai wira kerana memastikan keselamatan para remaja itu.

"Mereka hanya duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerana keadaan gelap," kata Banpot, menukil apa yang dikongsikan anaknya yang masih di hospital.

Selama terperangkap dalam gua, kumpulan itu meminum air titisan dari stalaktit dan dinding gua untuk bertahan hidup, menurut pegawai penyelamat.

Mereka mula-mula diasingkan di hospital Chiang Rai kerana risiko jangkitan, namun kini sudah dibenarkan untuk bertemu ahli keluarga. Mereka dijangka berada di hospital selama sekurang-kurangnya seminggu.

Misi menyelamat itu menarik perhatian masyarakat dunia. Ramai yang memberi pujian kepada pegawai SEAL dan pasukan penyelam antarabangsa yang bertungkus-lumus dalam kondisi merbahaya untuk menyelamatkan mereka. Seorang bekas pegawai SEAL Thailand terkorban dalam misi itu.

John Volanthen, salah seorang daripada dua penyelam Britain yang menjumpai kumpulan remaja itu tetap berendah diri.

"Kami bukan wira," beliau memberitahu BBC sekembalinya ke London.

"... Sebenarnya saya tumpukan (kejayaan) kepada pasukan antarabangsa dan anggota SEAL Thailand."

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha berkata pada Khamis pasukan penyelamat antarabangsa akan diberi kad "Thailand Elit" bernilai 500,000 baht (S$20,460) yang manfaatnya termasuk visa lima tahun, sebagai tanda penghargaan.

- Reuters/TQ/tq

Top