Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Para penyiasat teliti maklumat 18 perhubungan sulit oleh pasukan Trump dengan Rusia

Krisis yang membelenggu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung dakwaan adanya campur tangan Rusia dalam pemilihan beliau tahun lalu, menjadi semakin buruk.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 May 2017 09:35PM Dikemas Kini : 19 May 2017 02:04AM

WASHINGTON: Krisis yang membelenggu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung dakwaan adanya campur tangan Rusia dalam pemilihan beliau tahun lalu, menjadi semakin buruk.

Laporan baru dari agensi berita Reuters menyatakan para penyiasat sedang meneliti maklumat sekurang-kurangnya 18 perhubungan yang dilakukan secara sulit oleh pasukan kempen Encik Trump dengan para pegawai Rusia antara April hingga November tahun lalu.

Menurut Reuters, perbualan menerusi telefon dan emel itu, antara lain membincangkan soal hubungan ekonomi dengan China dan kumpulan pengganas ISIS.

Jabatan Keadilan Amerika telah melantik mantan ketua Biro Siasatan Federal (FBI), Robert Mueller sebagai pendakwa khas bagi menyiasat kemungkinan campur tangan Rusia itu.

Encik Mueller menjadi ketua FBI antara tahun 2001 hingga 2013.

Beliau berjanji akan melaksanakan tugas barunya sebaik mungkin.

Sebagai pendakwa khas, Encik Mueller tidak tertakluk kepada arahan Jabatan Keadilan yang melantiknya.

Beliau juga berhak memilih pegawainya sendiri.

Dalam menjalankan siasatannya, Encik Mueller tidak perlu mendapatkan pandangan atau memberitahu Peguam Negara atau Timbalan Peguam Negara apa yang sedang atau akan dilakukannya.

Encik Mueller diberi kuasa khas untuk meneliti apa juga bentuk hubungan atau penyelarasan antara pemerintah Rusia dengan individu-individu yang mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya Presiden Donald Trump.

Mereka mungkin termasuk Mike Flynn, mantan Penasihat Keselamatan Negara Presiden Trump.

Encik Flynn menjadi tumpuan utama siasatan federal berhubung isu itu.

Laporan terbaru akhbar New York Times menyatakan sebelum dilantik ke jawatan itu, Encik Flynn telah memberitahu pasukan peralihan Presiden Trump bahawa beliau sedang disiasat pihak federal, pada 4 Januari.

Namun beliau tetap dilantik untuk menyandang jawatan amat sensitif itu.

Bagaimanapun 24 hari kemudian, Encik Flynn sudahpun dipecat.

Rumah Putih memberikan alasan bahawa Encik Flynn tidak mendedahkan hal sebenar tentang perbualan telefonnya dengan Duta Besar Rusia ke Amerika, dipercayai mengenai cara-cara untuk melonggarkan sekatan Amerika terhadap Rusia.

Dalam pada itu, para anggota kanan Jawatankuasa Keadilan Dewan Senat telah mengundang bekas ketua FBI, James Comey untuk memberi keterangan secara terbuka berhubung tindakan Presiden Trump memecatnya.

Beliau juga mendapat undangan serupa dari Jawatankuasa Risik Dewan Senat dan Jawatankuasa Siasatan Dewan Perwakilan. 

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan