Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Para pendatang muda dianiaya ketika dalam perjalanan ke Eropah: PBB

"Cuba bayangkan seketika jika anak anda harus menempuhi segala itu," kata Cik Blanchet selepas UNICEF dan IOM menerbitkan satu laporan berdasarkan wawancara yang meluas.

Anggaran Waktu Membaca:
Para pendatang muda dianiaya ketika dalam perjalanan ke Eropah: PBB

(Gambar: ANGELOS TZORTZINIS / AFP)

Diterbitkan : 13 Sep 2017 09:49PM Dikemas Kini : 13 Sep 2017 09:59PM

BRUSSELS: Lebih tiga suku kanak-kanak dan orang dewasa muda yang cuba berhijrah ke Eropah menjadi mangsa-mangsa diseksa, dirogol dan kes penganiayaan yang lain.

Demikian menurut para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Selasa (12 Sep), yang memberi amaran terhadap "kesinisan" berhubung tragedi-tragedi yang berulang-ulang itu.

Menurut para pegawai daripada agensi hak asasi kanak-kanak UNICEF dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Penghijrahan, para pendatang muda yang datang dari kawasan Afrika sub-Sahara melalui Mediterranean menghadapi risiko penderaan yang tinggi, mungkin disebabkan oleh isu perkauman.

"Mereka menggunakan perkataan-perkataan seperti penyeksaan, pemukulan, pembunuhan, perhambaan, pemerdagangan, rogol, untuk menggambarkan realiti mereka," kata Pengarah UNICEF Brussels, Cik Sandie Blanchet dalam satu sidang media.

"Cuba bayangkan seketika jika anak anda harus menempuhi segala itu," kata Cik Blanchet selepas UNICEF dan IOM menerbitkan satu laporan berdasarkan wawancara yang meluas.

Menurut laporan itu, seramai 77 peratus kanak-kanak dan remaja yang cuba menyeberangi Mediterranean ke Eropah dianiaya.

Mereka yang dari sub-Sahara Afrika lebih cenderung mengalami penderitaan seperti itu berbanding orang-orang dari tempat lain, katanya. "Besar kemungkinan, isu berbaur perkauman merupakan faktor utama di sebalik percanggahan ini." Laporan itu meninjau seramai 22,000 pendatang dan pelarian termasuk seramai 11,000 kanak-kanak dan orang muda.

Encik Eugenio Ambrosi, pengarah IOM bagi Kesatuan Eropah, Norway dan Switzerland, menggesa para pegawai untuk menerapkan sistem pengurusan sempadan yang lebih baik dengan pakar-pakar terlatih untuk menjaga kanak-kanak dan bukannya memperlakukan mereka sebagai "musuh yang berpotensi."

Encik Ambrosi juga memberi amaran terhadap "kesinisan" yang semakin meningkat akibat kisah penderitaan pendatang kanak-kanak yang berulang: "Kita perlu terus berasa terkejut dan sedih dan marah atas penjenayahan yang kita lihat."

Para pendatang muda membayar antara 800 hingga 4000 euro (S$1300- S$6500) untuk ke Eropah, tetapi kemudian dibelenggu hutang dan menghadapi risiko baru.

PBB minggu lalu menuduh Kesatuan Eropah sebagai tidak menghiraukan kekejaman yang dihadapi oleh para pendatang yang berada di Libya dan mendesak tindakan segera untuk membantu mereka.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan