Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Palu sambut Maulidur Rasul dalam keadaan serba sederhana selepas bencana

Gempa bumi dan tsunami yang menimpa masyarakat Palu sejak 28 September lalu, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk mengisi sambutan Maulidur Rasul walaupun dalam keadaan serba sederhana.

Anggaran Waktu Membaca:
Palu sambut Maulidur Rasul dalam keadaan serba sederhana selepas bencana

Penduduk Palu solat berjemaah. (Gambar fail: Muhammad Rifki/AFP)

Diterbitkan : 21 Nov 2018 07:52AM Dikemas Kini : 21 Nov 2018 09:03AM

KOTA PALU: Gempa bumi dan tsunami yang menimpa masyarakat Palu sejak 28 September lalu, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk mengisi sambutan Maulidur Rasul walaupun dalam keadaan serba sederhana.

Kejadian gempa bumi kuat dan tsunami itu dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.

Masyarakat Kota Palu yang majoriti penduduknya beragama Islam menganggap bencana yang menimpa mereka sebagai sebahagian ujian Illahi untuk menjadikan mereka insan yang lebih baik.

Seorang penduduk tempatan, Vania Qanita Damayanti, 17 tahun, berkata sambutan kali ini tidak sama seperti tahun lalu yang disambut meriah dengan berarak sambil berselawat mengelilingi bandar.

"Namun, pada tahun ini, sambutannya kurang meriah kerana kebanyakan mangsa masih berasa terkesan dengan apa yang berlaku tempoh hari.

"Kita hanya menyambutnya secara ringkas dengan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. di samping menyedekahkan bacaan Yasin kepada para mangsa yang terkorban dalam bencana ini," kata Vania.

Tinjauan Bernama mendapati selain aktiviti berselawat serta berzikir, sambutan itu turut diselitkan dengan program pemulihan trauma bagi mangsa bencana terutamanya kanak-kanak yang diselia pasukan Sukarelawan Sulawesi Tengah (Relawan Sulteng).

Dalam pada itu, bagi Relawan Sulteng, Risnawati, 38, beliau bersama kumpulannya hadir ke khemah berkenaan bagi memberi suntikan semangat kepada kanak-kanak agar kembali pulih seperti biasa.

"Hari ini kita menyambut Maulidur Rasul dalam keadaan sederhana, namun kanak-kanak di sini sentiasa bersemangat ketika memuji nama Baginda.

"Di samping itu, kita selitkan program pemulihan trauma bagi mengembalikan semangat mereka untuk bangkit semula daripada dugaan hidup yang mencabar ini," katanya.

Cik Risnawati menambah, acara kemuncak sambutan itu adalah dengan makan lauk tradisi secara beramai-ramai seperti yang dilakukan setiap kali sambutan ini diadakan.

"Jagung, keledek dan Gamik iaitu campuran kelapa, cili dan mangga menjadi menu wajib yang ada ketika sambutan Maulidur ini... dengan aktiviti seperti ini ia dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain," katanya.

Cik Risnawati berharap agar semangat masyarakat Palu akan kembali pulih seperti sebelumnya supaya sambutan Maulidur Rasul akan datang menjadi lebih meriah tanpa melupakan tragedi ini. 

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan