Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pakatan Harapan akan tunai janji manifesto - Nurul Izzah

Pakatan Harapan (PH) akan menunaikan janji-janji manifesto semasa kempen Pilihan Raya Umum  ke-14 (PRU14) yang lalu, kata Naib  Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakatan Harapan akan tunai janji manifesto - Nurul Izzah

Nurul Izzah, anak sulung Anwar Ibrahim. (Gambar: AFP/Manan Watsyayana)

Diterbitkan : 16 May 2018 09:39PM Dikemas Kini : 16 May 2018 09:41PM

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan menunaikan janji-janji manifesto semasa kempen Pilihan Raya Umum  ke-14 (PRU14) yang lalu, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata tempoh Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan sebagai perdana menteri tidak seharusnya menjadi isu kerana Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sudahpun menyatakan sokongannya terhadap pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

"Tugas PH sekarang ialah untuk berkhidmat kepada rakyat setelah rakyat memilih PH sebagai kerajaan pada PRU14 yang lepas. Kita harus akur dengan keputusan dibuat Dr Mahathir dalam meneruskan agenda negara," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Temu bual Eksklusif Bernama Radio, hari ini.

Cik Nurul Izzah yang juga wakil rakyat kerusi Parlimen Permatang Pauh berkata tumpuan utama PH kini ialah menguruskan pentadbiran negara dan menyelesaikan pelbagai isu yang melanda.

"Rakyat telah meletakkan harapan tinggi kepada PH dan adalah tugas kami untuk memikul tanggungjawab itu dan melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam manifesto PH untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menjawab dakwaan bahawa kemenangan PH pada PRU14 kerana lemparan fitnah kepada parti lawan, Nurul Izzah berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana media arus perdana dikawal oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

"Saya sendiri dituduh sebagai pengganas ketika insiden pencerobohan Lahad Datu di Sabah, saya membawa tuduhan fitnah itu ke mahkamah dan menang kes fitnah tersebut,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 18 April lalu membenarkan saman yang difailkan Cik Nurul Izzah terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu Naib Presiden PKR itu bergambar bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III.

Mengulas mengenai amalan lompat parti, Cik Nurul Izzah berkata demokrasi berada pada tahap parah di bawah kepimpinan terdahulu dan undang-undang dilihat bersifat 'draconian' sehingga menyebabkan amalan lompat parti itu berlaku.

"Contohnya seperti Akta Antiberita Tidak Benar, PH akan memansuhkannya tetapi pihak media harus bersikap bertanggungjawab serta mengamalkan etika kewartawanan dengan menjaga sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

Cik Nurul Izzah berkata Malaysia juga perlu ada pembangkang yang kuat dalam memastikan ada semak dan imbang selain pendapat pembangkang juga akan diambil kira kerana ada beberapa dasar yang diperkenalkan kerajaan terdahulu yang bagus dan boleh dibaiki.

Mengakhiri temu bual itu, beliau berkata anggota PH harus sentiasa mendekati rakyat dan memberi perhatian terhadap keperluan mereka selain perlu kekal relevan dengan menyediakan dasar kerajaan yang terbaik dalam ekonomi, politik dan sosial.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan