Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Operasi angkat bangkai QZ8501 dilancar, empat mayat ditemui

Pasukan penyelamat Indonesia memulakan operasi mengangkat bangkai pesawat AirAsia QZ8501 daripada dasar laut hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Operasi angkat bangkai QZ8501 dilancar, empat mayat ditemui

Bahagian utama pesawat AirAsia QZ8501 di dasar laut. (Gambar: Facebook Dr Ng Eng Hen)

Diterbitkan : 24 Jan 2015 04:27PM Dikemas Kini : 24 Jan 2015 04:45PM

JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia memulakan operasi mengangkat bangkai pesawat AirAsia QZ8501 daripada dasar laut hari ini.

Sementara itu, empat lagi mayat dijumpai, menjadikan kesemuanya 69 mayat ditemukan.

Operasi tersebut dilancarkan sehari selepas para penyelam berjaya masuk ke bahagian utama pesawat itu, yang terhempas di Laut Jawa, buat julung-julung kalinya semalam.

Bahagian utama QZ8501 sudah ditemui di dasar laut oleh kapal tentera Singapura, namun usaha mengangkatnya dari laut tidak berhasil akibat keadaan cuaca yang buruk sepanjang minggu ini.

"Kami harap ia dapat diapungkan ke permukaan laut hari ini," kata S.B. Supriyadi, seorang pegawai agensi penyelamat.

Pasukan penyelam memulakan operasi menyelam ke dasar Laut Jawa, awal pagi tadi, untuk mengikat beg pelampung kepada bangkai pesawat agar ia dapat diapungkan.

Namun percubaan pertama gagal kerana tali yang digunakan terputus sebelum bangkai pesawat dapat ditimbulkan ke permukaan laut.

Semalam, para penyelam tidak dapat masuk ke bahagian utama pesawat untuk menemui lebih banyak mayat, kerana wayar-wayar berserabut dan tempat-tempat duduk yang terapung-apung di dasar laut, menghambat usaha mereka.

"Para penyelam berkata keadaan di dalam (bahagian utama pesawat) gelap, dan tempat-tempat duduk pesawat terapung-apung, bahkan wayar-wayar berserabut," ujar Rashid Kacong, pegawai tentera laut yang terlibat dalam operasi mengangkat QZ8501.

Pesawat QZ8501 terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 28 Disember lalu dengan membawa 162 penumpang dan kru, semasa dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura, ketika cuaca buruk.

Pesawat malang itu menaikkan paras ketinggian penerbangannya terlalu laju, iaitu 6,000 kaki dalam seminit, sebelum terhempas, menurut Menteri Pengangkutan Ignasius Jonan. Pasukan penyiasat sedang menganalisa kotak-kotak hitam pesawat.

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan