Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nurul Izzah dilihat luang masa dengan Rafizi, Khairy sehari selepas umum letak jawatan

Di tengah-tengah pelbagai spekulasi terhadap Nurul Izzah, beliau dilihat meluangkan masa bersama bekas anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di sebuah restoran di Bangsar semalam (18 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Nurul Izzah dilihat luang masa dengan Rafizi, Khairy sehari selepas umum letak jawatan

(Gambar: rafiziramli/Instagram)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 08:44AM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 08:49AM

MALAYSIA: Keputusan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, masih lagi hangat dibicarakan. PKR Kelantan dan PKR Labuan menyatakan harapan mereka supaya beliau menarik balik keputusan itu. Pemangku Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pula berkata Cik Nurul Izzah memutuskan untuk meletak jawatan kerana perkembangan politik dalam Pakatan Harapan.

Di tengah-tengah pelbagai spekulasi terhadap puteri Encik Anwar Ibrahim itu, Cik Nurul Izzah dilihat wartawan Berita Harian Malaysia sedang meluangkan masa bersama bekas anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di sebuah restoran di Bangsar semalam (18 Dis).

Menurut media tempatan itu, Cik Nurul Izzah tiba dahulu di Restoran Alexis di Bangsar Shopping Centre (BSC) pada sekitar 12.00 tengah hari. Tidak lama kemudian, Encik Rafizi tiba, disusuli dengan Encik Khairy.

Mereka kemudian memesan minuman.

"Ketika saya tinggalkan restoran itu pada jam 1.30 tengah hari, mereka masih di sana. Mereka kelihatan ceria sambil berbual," kata wartawan BH Online yang turut merakam gambar mereka.

Ini bukanlah kali pertama tiga serangkai itu dilihat bersama. Meskipun mempunyai pandangan dan fahaman politik berbeza, ketiga-tiga individu itu tetap menjaga hubungan baik antara satu sama lain.

Perkara ini diakui oleh Encik Rafizi sendiri pada minggu lalu yang menulis di laman Twitternya tentang persahabatan mereka. Beliau berkata, mereka mempunyai aspirasi yang sama meskipun setiap seorang dari parti politik berbeza.

“Kami berkongsi aspirasi yang sama, iaitu untuk melihat Malaysia yang mampu menjana kekuatan dari perbezaan yang kita ada, memahami penuh serta menghormati perbezaan tersebut,” tulis beliau.

Ketika Cik Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya juga, Encik Khairy tidak teragak-agak untuk memberikannya kata-kata semangat.

"Saya pasti apabila negara kita sudah bersedia untuk perubahan generasi dalam politik, Nurul Izzah akan kembali. Sangat sia-sia sekiranya beliau tidak kembali ke barisan depan politik," tulis Encik Khairy dalam kiriman Twitternya.

Kiriman tweet itu pula dibalas Cik Nurul Izzah yang menyifatkan Encik Khairy sebagai individu yang banyak meniup inspirasi kepada kawan mahupun lawan.

Awal dari itu, Malaysiakini melaporkan Encik Rafizi menulis sepucuk surat terbuka kepada Encik Khairy dan berharap agar bekas menteri belia dan sukan itu kekal dalam UMNO di tengah-tengah tindakan sekumpulan anggota parlimennya keluar parti. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan