Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nur Sajat didenda RM2,700 kerana kesalahan GST

Ahli perniagaan dan personaliti Malaysia, Nur Sajat, didenda RM2,700 oleh sebuah Mahkamah Sesyen hari ini (19 Dis) selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Nur Sajat didenda RM2,700 kerana kesalahan GST

Nur Sajat. (Gambar: ajramjat/Instagram)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 06:26PM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 02:01PM

SHAH ALAM: Ahli perniagaan dan personaliti Malaysia, Nur Sajat, didenda RM2,700 oleh sebuah Mahkamah Sesyen hari ini (19 Dis) selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia.

Hakim Rofiah Mohamad turut memerintahkan penyanyi lagu 'Bobo di Mana' itu dipenjara enam minggu sekiranya gagal membayar denda.

Nur Sajat, 33 tahun, yang hadir ke mahkamah memakai baju merah, berseluar hitam dan berkasut tumit tinggi membayar denda tersebut. Semasa perbicaraan, nama sebenar peniaga tersebut, yang tidak ramai tahu, juga terdedah.

Mengikut pertuduhan, Nur Sajat atau nama penuhnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, sebagai orang kena cukai di bawah Akta GST 2014, gagal mengemukakan penyata terbabit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015, bermula 1 Okt 2015 hingga 31 Dis 2015 dan bermula 1 Dis 2016 hingga 31 Mac 2016, seperti ditetapkan mengikut Akta GST 2014.

Nur Sajat didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, Petaling Jaya, antara 22 Okt 2015 hingga 16 Jun 2016.

Dia dihukum mengikut Akta GST yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kastam, Noor Asyikin Md Rodhi sementara ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Sajat selaku orang kena saman (OKS) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai pengetahuan mengenai GST ketika kejadian.

"Saya minta maaf dan mengakui saya tiada pengetahuan tentang GST, staff saya sentiasa bertukar dan tidak mahir tentang GST sebab itu saya gagal mengemukakan penyata tersebut," katanya.

Cik Noor Asyikin pula memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat.

Sementara itu, Nur Sajat ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata ini merupakan pertama kali dia dihadapkan ke mahkamah dan telah pun selesai membayar denda.

"Saya hanya lewat hantar report (penyata) sahaja bukan tidak bayar GST, staff ketika itu baru, jadi kami terlepas pandang. GST diperkenalkan pada 2014 dan tahun itu juga saya baru mulakan perniagaan," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan